Sabtu, 21 Mac 2020

Hari Puisi Sedunia 2020

Kerja menulis tak pernah akan membuat kau merasa bahagia. Sebab itu 4 tahun berlalu, akhirnya sepi tetap bertemu sepi. Di kala membaca kembali catatan di blog ini, soalan yang benar-benar merunsingkan dan menggugah hanyalah:

Antara puisi dan kata, siapa yang kau cinta?

Apapun, silakan memyusuri sebuah terjemahan kasar Bab 1 buku The Triggering Town oleh Richard Hugo, pernah diterbitkan dalam zine Opia (Bil. 2) sekitar 5 tahun yang lalu sebagai sebuah renungan dalam tempoh kurungan keterasingan ini. Semoga ada kesempatan di waktu akan datang untuk kembali menyelak bab-bab seterusnya.


1: Menulis Di Luar Subjek (Terjemahan Kasar Bab 1: The Triggering Town oleh Richard Hugo)

Saya selalu membuat kenyataan seperti berikut di permulaan kelas penulisan puisi.

Kamu tidak akan menjadi penyair sebelum kamu sedar bahawa beberapa hal yang saya katakan hari ini dan saat ini adalah salah. Ia mungkin sesuai bagi saya, tetapi tidak bagi kamu. Setiap saat, saya tanpa sengaja atau mencuba, akan memberitahu kamu untuk menulis seperti saya. Begitu pun, saya harap kamu belajar untuk menulis seperti diri sendiri. Dalam erti kata lain, saya harap saya tidak mengajar kamu menulis melainkan mengajar bagaimana kamu mengajar diri sendiri untuk menulis. Berhati-hati dengan perbualan kosong yang tiada tujuan sepanjang masa. Jika saya mengatakan sesuatu yang membantu, bagus. Jika apa yang saya katakan tidak membantu, jangan ambil peduli. Jangan cuba bertengkar. Ia sia-sia dan menjauhkan kita dari tujuan. Seperti yang dikatakan oleh Yeats, pertengkaran yang paling penting adalah terhadap diri kamu sendiri. Jika kamu tidak setuju, jangan dengar. Fikir tentang hal lain.

Apabila kamu mula menulis, kamu membawa salah satu daripada dua sikap ke mukasurat pertama, tanpa kamu sedari. Yang pertama, setiap puisi harus mematuhi kebenaran. Yang kedua, setiap kebenaran harus mematuhi puisi. Jika kamu percaya akan sikap yang pertama, kamu membuat kerja kamu menjadi sangat sukar, bukan saja kamu menghadkan penulisan puisi sebagai sesuatu yang hanya ditulis oleh seseorang yang pintar, seperti Auden, malah kamu melemahkan hujah tentang kepentingan kursus penulisan kreatif diadakan. Kamu boleh tampil dengan sikap sebegitu jika kamu mahu, tetapi kamu menjejaskan sumber pencarian saya, begitu juga peluang untuk menulis puisi dengan baik.

Jika sikap kedua yang kamu pilih, maka saya tetap mempunyai pekerjaan. Mari anggap sikap ini lebih baik kerana saya memerlukan wang. Lagipun, jika kamu setuju bahawa kebenaran harus mematuhi puisi, setiap kita yang merasakan kehidupan ini membingungkan dan tidak mengetahui makna setiap hal di sekeliling kita, tetapi tetap mencintai bagaimana kata-kata berbunyi sehingga dapat menempuh draf demi draf sebuah puisi, boleh terus menulis -- kita akan menjadi sukar untuk dihentikan.

Salah satu tanda seseorang baru mula menulis ialah dia terdorong menggunakan bahasa untuk menampung fikiran yang telah dirasakan penulis sebagai tepat dan muktamad, atau, dalam sesetengah hal, apa yang dianggap penulis sebagai bentuk sebenar puisinya. Walaupun Auden, beberapa kali menjadikan puisinya patuh terhadap kebenaran dengan cara yang pintar, dia masih memetik kata seorang perempuan dalam novel Forster yang berkata, "Bagaimana aku boleh pasti tentang apa yang aku fikirkan sebelum aku lihat apa yang aku perkatakan."

Sebuah puisi boleh dikatakan mempunyai dua subjek iaitu, subjek pemula atau pencetusnya, yang mana memulakan puisi atau "menyebabkan" puisi itu tertulis, dan juga subjek sebenar atau subjek yang terhasil, yang mana terlahir ataupun ditemui dalam puisi sewaktu proses penulisannya. Pandangan ini kurang tepat kerana ia menyarankan bahawa penulisnya menyedari kewujudan subjek sebenar. Penulis mungkin tidak menyedari tentang subjek sebenar dan hanya melalui nalurinya dirasakan bahawa puisi itu selesai.

Penyair baru sering merasa sukar untuk membebaskan diri mereka dari subjek pemulanya. Dia menulis tajuk puisinya sebagai "Hujan Musim Luruh." Dia menemui dua atau tiga baris kata-kata yang baik tentang hujan di musim luruh. Tidak lama kemudian, semuanya mulai roboh. Dia tidak lagi menemui apa-apa yang boleh ditulis mengenai hujan musim luruh maka dia pun mula mereka-reka tulisannya, dia membuat alunan, dia memaksa, lalu mula menceritakan kepada kita apa makna semua yang telah dikatakannya awal tadi. Kesilapan yang dilakukannya, sudah tentu, kerana dia merasa wajib dan harus terus berkata-kata tentang hujan musim luruh, sebab menurutnya, ia adalah subjek puisinya. Namun, itu bukan subjeknya. Kamu tidak tahu apa subjeknya kerana apabila tiada apa-apa yang dapat diperkatakan lagi tentang hujan musim luruh, kamu segera bercerita tentang hal-hal lain. Bahkan, adalah sebuah tindakan yang baik untuk bercerita tentang hal-hal lain sebelum kamu kehabisan kata-kata untuk bercerita tentang hujan musim luruh.

Jangan takut untuk berfikir lebih jauh ke hadapan. Sesetengah orang menulis dengan lebih menarik apabila menumpukan perhatian lebih lama tentang suatu subjek. Namun lebih ramai yang akhirnya menjadi seperti saya, itu yang saya perhatikan. Lebih lama mereka berkata-kata tentang satu subjek, semakin ia menjemukan. Tulis subjek berbeza di baris berikutnya dari subjek yang baru saja kamu tuliskan. Bersandarlah pada rima, nada, dan melodi bahasa untuk menyatukan tulisan kamu. Adalah mustahil untuk menulis baris-baris yang tidak bermakna. Dalam erti kata lain, setiap hal yang ditulis selalu ada peranannya. Dalam dunia imaginasi, semua perkara saling berkaitan. Jika kamu mengambil sikap seperti itu, kamu barangkali kelihatan dungu, tetapi hanya dungu seperti ikan trout.

Jangan peduli tentang pembaca, sama ada mereka faham atau tidak. Apabila kamu menulis, cuba berpaling ke sebalik bahu, kamu lihat tiada pembaca sedang mengintip. Hanya kamu dan selembar kertas itu. Kamu merasa sunyi? Bagus. Saya andaikan kamu boleh menulis ayat dalam Bahasa Inggeris yang jelas, maka lepaskan kerisauan tentang usaha untuk berkomunikasi. Jika kamu mahu berkomunikasi, gunakan telefon.

Untuk menulis puisi, kamu harus bersikap angkuh -- namun saya harap tidak begitu dalam kehidupan sebenar. Dalam kehidupan sebenar cubalah untuk berhemat. Ia akan mengelakkan kamu dari masalah dan memberi kamu lebih banyak waktu untuk menulis. Dengan bersikap angkuh saya bermaksud bahawa apabila kamu menulis kamu harus menganggap bahawa perkara yang kamu tuliskan tidak dikekang oleh alasan logik, perasaan yang tertentu, atau perkembangan naratif, namun kerana kamu sememangnya mahu menulisnya sebegitu. Kamu, orang yang berkata begini begitu, harus mengatakannya dengan tegas. Cara kamu menulis harus berupaya menarik, bukan mewujudkan kesedaran tentang sebuah perhubungan.

Persoalannya adalah: bagaimana untuk bebas daripada subjek, maksud saya subjek yang mencetuskan tulisan. Salah satu caranya adalah dengan menggunakan perkataan kerana bunyinya semata. Sebentar, saya akan tunjukkan idea ini.

Subjek pemula harus berupaya mencetuskan imaginasi, sekali gus melahirkan puisi. Jika tidak, ia mungkin bukan subjek yang tepat tetapi sekadar sesuatu yang kamu rasa harus tertulis puisi tentangnya. Seseorang yang arif pernah berkata kepada saya bahawa jangan tulis puisi tentang apa-apa yang dirasakan patut tertulis puisi tentangnya. Nasihat ini baik tetapi tidak begitu tepat. Hujahnya di sini, subjek pencetus tidak harus dibebani tanggungjawab moral atau sosial yang menerangkan atau membuktikan perasaan kamu terhadap sesuatu perkara. Jika kamu merasa terbeban untuk mengatakan sesuatu yang ingin didengar orang lain namun tidak cukup berani untuk melakukan kejutan, berdiam diri saja. Begitu pun, nasihat tadi tetap boleh diterima. Namun subjek yang menuntut agar ada puisi tertulis tentangnya mempunyai sifat buruk iaitu ia memerlukan banyak sudut pandang lain yang harus difikirkan dalam waktu yang sama. Dan kamu terpaksa melayan karenah semua itu dengan cara mengorbankan daya imaginasi kamu.


Saya percaya subjek pencetus yang betul dan tepat adalah sesuatu yang mempunyai sifat atau ciri-ciri yang mana ia mempunyai hubungan dengan pendirian penyair terhadap alam dan dirinya sendiri. Bagi saya, tinggalan kota kecil yang dahulunya pernah meriah selalu menjadi. Berbeza dengan apa yang disebut oleh pengulas dan pengkritik tentang tulisan saya, saya hampir tidak mengetahui sedikit pun tentang tempat-tempat yang mencetuskan puisi saya. Mengetahui tentang sesuatu dengan terperinci boleh menjadi sesuatu yang membataskan. Jika populasi sebenar sebuah kota itu adalah sembilan belas tetapi puisi memerlukannya untuk berbunyi sebagai tujuh belas, tujuh belas lebih mudah diperkatakan jika kamu tidak mengetahui populasi yang setepatnya. Tekaan menawarkan lebih banyak pilihan. Seringkali, sebuah tempat yang memulakan puisi saya adalah tempat yang saya lihat sepintas lalu sewaktu melewatinya. Ia harus mewujudkan gambaran yang cukup agar saya dapat melihat benda-benda lain di dalam kota itu - menara air, bank, filem terakhir yang diumumkan di kanopi masuk sebelum pawagam ditutup selamanya, hotel yang ditutup - begitu lama setelah saya meninggalkannya. Kadang-kala, hal-hal yang dibayangkan ini yang saya cari semula bila kembali ke sana, sama ada nyata atau sebaliknya, ia menjadi sejumlah pengetahuan yang tidak berubah di luar puisi saya. Kadang-kala ia juga bertindak sebagai sebuah set pentas. Saya tidak akan pernah cuba untuk mewujudkan puisi yang serius di sebuah tempat yang mana di mana terbukti orang-orang yang mendiaminya boleh merasa sangat selesa - misalnya sebuah hotel Hilton yang baru.

Hubungan antara penyair dan subjek pencetus tidak seharusnya lebih kukuh (harus lebih longgar) berbanding hubungannya dengan kata-kata. Kata-kata tidak seharusnya berkhidmat untuk subjek. Subjek yang harus tunduk kepada kata-kata. Barangkali ini kelihatan seperti mencabuli fakta sebenar. Misalnya, jika sebuah puisi memerlukan perkataan "hitam" di ruang tertentu dalam puisi dan mesin bijiran pula sebenarnya berwarna kuning, mesin bijiran itu barangkali harus berwarna hitam di dalam puisi. Kamu tidak berhutang apa-apa kepada realiti malah berlaku adil terhadap keinginan perasaan kamu sendiri.

Mari lihat sebuah puisi kecil yang saya rasa indah, ditulis tahun 1929 oleh seorang penyair yang hebat namun tidak diberi perhatian sewajarnya.



                Rattlesnake*

                I found him sleepy in the heat
                And dust of a gopher burrow,
                Coiled in loose folds upon silence
                In a pit of the noonday hillside.
                I saw the wedged bulge
                Of the head hard as a fist.
                I remembered his delicate ways:
                The mouth a cat's mouth yawning.
                I crushed him deep in dust,
                And heard the loud seethe of life
                In the dead beads of the tail
                Fade, as wind fades
                From the wild grain of the hill.

Saya mendapati bahawa begitu banyak lagi yang boleh dipelajari tentang penulisan dari puisi yang baik ini. Pertamanya saya rasa ia menunjukkan beberapa pendirian penyair yang disampaikan melalui karya seni. Puisi tumbuh dari pengalaman sama ada pengalaman sebenar atau yang dibayangkan -- baru-baru ini saja saya ketahui pengalaman penyair itu adalah benar. Titik permulaan puisi harus terlebih dahulu ditetapkan agar fikiran mempunyai satu tapak operasi yang kukuh, dan pemikiran akan mula berkembang dari situ. Seringkali, jika subjek pencetusnya terlalu besar atau berat (cinta, kematian, hal-hal rohani) berbanding sesuatu yang tertumpu dan terperinci, pemikiran terdorong untuk berkerut. Tuan Alexander Fleming memerhatikan beberapa bekas kultus fungi, dan beberapa tahun kemudian kita menemukan penawar untuk Gonorrhea. Namun apa yang mungkin terjadi jika kerajaan British secara khusus menyuruh dia mencari penawar Gonorrhea? Barangkali dia akan merasa begitu geliah sehingga terlepas pandang tentang apa yang terjadi pada bekas kultus fungi itu. Berfikir dalam konteks yang kecil dahulu. Jika kamu seorang yang berfikiran luas, ia tetap akan terlihat nanti. Jika kamu tidak dapat berfikir dalam konteks yang kecil, cuba fikirkan tentang falsafah atau kritikan sosial.
Keperluan agar puisi ini tertulis terbukti dalam puisi ini. Ini contoh terbaik sebuah hujah bahawa semua puisi yang bersungguh-sungguh dilahirkan kerana obsesi. Tanpa puisi ini pengalaman tadi barangkali tidak dianggap wujud atau selesai.

*Oleh Brewster Ghiselin, Against The Circle (New York: Dutton 1946), mukasurat 60.
Puisi itu juga mempunyai unsur melodramatik. Setiap karya yang mengalami unsur ini mempunyai sifat yang kita panggil sebagai "schmaltz" atau sentimental. Penentangan kita terhadap unsur sentimental yang dibawa dalam penulisan era Victoria atau pasca Victoria terlalu tegas sehingga para penulis berfikiran bahawa jika semakin jauh kita menjarak dari hal yang sentimental, semakin berseni sesebuah karya yang dihasilkan. Itu adalah suatu kesilapan. Sepertimana  Bill Kittredge, rakan sekerja saya yang mengajar penulisan fiksyen katakan: jika kamu menjauhi unsur sentimental, kamu sebenarnya menjarakkan diri dari diri sendiri.

Sebuah puisi terletak dalam sebuah ruang/tempat khas. Kamu tidak tahu di mana, tetapi penyairnya tahu tentang tempatnya. Mengetahui di mana kamu sedang berada boleh menjadi punca untuk sumber kreatif yang stabil. Jika kamu berada di Chicago kamu dapat pergi ke Roma. Jika kamu tidak tahu di mana kamu sedang berada, kamu tidak dapat ke mana-mana.

Ular orok-orok itu dibunuh cuma-cuma. Kajian psikologi moden mungkin telah membantu segenlintir daripada kita untuk menjadi orang yang lebih baik. Kita barangkali melayani anak-anak dengan lebih baik kerana kita mempunyai pengetahuan asas tentang sebab dan kesan dari tingkah laku kita. Tetapi dalam karya seni, sepertimana dalam kehidupan, segalanya berlaku tanpa sebab. Segalanya tetap berlaku. Sebuah puisi jarang sekali memberi ruang kepada penjelasan, alasan, atau sebab. Bagaimana jika puisi itu berbunyi
                Because I knew his poison
                Was dangerous to children
                I crushed him deep in dust . . . ?

Penyair itu tentunya sedang mencari alasan untuk tindakannya, dan tujuannya sewaktu melakukan pembunuhan itu boleh dipertikaikan. Dalam drama King Lear, tiada apa yang mungkin boleh menjadi suatu penjelasan terhadap kekejaman Regan dan Cornwall sewaktu mereka membutakan Gloucester. Dari sudut pandangan seorang penulis, penjelasan yang boleh diterima adalah Shakespeare tahu begitu banyak benda-benda pelik yang dalam dunia ini.

Walaupun begitu, terdapat banyak lagi perkara yang boleh dipelajari daripada puisi ini selain prinsip-prinsip seni. Selalu ada yang boleh diselidiki. Mari perhatikan dari sudut bahasa puisi ini pula.



Secara umumnya, banyak suku kata dalam Bahasa Inggeris yang mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan impaknya. Dengan suku kata ini kita dapat menunjukkan perasaan terharu, kelembutan, dan ketenangan. Melalui suku kata kita boleh menjadi lebih sopan. Dalam empat baris pertama puisi tersebut, tujuh daripada dua puluh enam perkataan, lebih kurang satu per empat, adalah perkataan yang mengandungi dua suku kata. Ini angka yang banyak melainkan kamu berada dalam bidang politik. Ular itu mengantuk. Ia tidak memberi ancaman kepada pembicara. Ia melingkar dalam liang yang digali haiwan tidak berbahaya, seekor tikus tanah. Seolah-olah ular itu seperti seseorang yang hanya mampu terlantar, anak yatim, seorang gelandangan yang tidur di mana-mana saja. Perkataan "noonday hillside" menerangkan bahawa dunia ini tidak mempunyai topografi yang tetap tetapi sebaliknya beberapa pilihan keadaan. Jam empat petang tidak semestinya menjatuhkan bayang-bayang di lereng bukit. Kita mewujudkan identiti tersendiri dari setiap perhubungan kita, seperti mana bumi ini memperlihatkan rupanya di suatu masa tertentu hari tersebut, melalui kedudukan matahari. Bumi ini sering berubah.

Dengan kata-kata yang terdiri daripada satu suku kata setiapnya, kita mampu menunjukkan ketegasan, kejujuran, kekerasan, tiada belas kasihan, dan sebuah dunia bahaya yang tidak terselindung. Dalam baris lima dan enam, ular itu dilihat sebagai ancaman, penyair melihat kepala ular itu seperti genggam penumbuk dan menjadikan ia sebagai perumpamaan. Pastinya, hanya manusia, dan bukan ular, yang ada penumbuk, jadi kita tertanya: di mana kita melihat ancaman itu sebenarnya?
Si pencerita kemudian mengenang kembali tentang ular itu dalam baris tujuh dan lapan, kita kemudian menemukan dua kata yang mengandungi tiga suku kata dan juga sebuah kata berbunyi panjang yang mengandungi hanya dua suku kata, "yawning." Kamu tentu menyedari bahawa penyair itu melihat persamaan fizikal ular dan seekor kucing peliharaan -- mereka menguap dengan cara hampir serupa -- juga kemudiannya dia melihat dan mendengar persamaan ular itu dengan tangkai gandum, ekornya seperti juntaian gandum, dan bunyi ekor yang berdetar seolah-olah bunyi angin menyusuri tangkai gandum.

Dalam lima baris terakhir, penyair membunuh ular itu, menunjukkan dirinya yang sebenar dan  berhadapan tanggapan moral terhadap kelakuannya tanpa cuba mengelak atau memberi alasan, dan kita tidak menemukan kata-kata dengan banyak suku kata sepanjang lima baris tersebut. Semuanya hanya ada satu suku kata, tumpuan menjadi fokus, keadaan si pembicara diperlihatkan dengan jujur, pendirian moralnya dilhat terbuka kepada umum. Jika seseorang bertindak tegas melalui pendiriannya yang penuh prasangka seperti dilihat dalam baris lima dan enam (seperti dilakukan oleh penyair tadi), dan bukan secara lembut, seperti sikap berprikemanusian yang terlihat dalam empat baris pertama serta baris tujuh dan lapan, seseorang itu berhadapan dengan sebuah tanggapan yang sukar diubah tentang sikapnya itu. Barangkali untuk selama-lamanya.

Dalam puisi ini, subjek pencetusnya terlihat jelas dari awal sehingga sebahagian akhir puisi, sementara subjek yang tercipta, yang cuba disampaikan puisi itu, hanya terlihat jelas terbukti di akhir puisi. Ular itu ditinggalkan, dan sebuah pendirian terhadap kehidupan mulai terlihat. Kata-kata yang hanya mengandungi satu suku kata dalam lima baris terakhir ini seakan menyatakan sebuah pendirian kukuh bahawa tidak semua kehidupan mempunyai kaitan, dan walaupun kehidupan kita tidak suci, tetap lebih baik jika kita berterusan menganggap ia sebaliknya. Dalam konteks ini, penyair lambat membebaskan dirinya dari subjek pencetusnya tadi.

Telah saya sebutkan bahawa salah satu cara untuk bebas dari subjek, bebas dari ingatan, adalah dengan menggunakan kata kerana bunyinya semata. Sekarang saya tunjukkan empat baris daripada puisi lama saya, memandangkan saya tidak dapat menunjukkannya melalui proses  menulis penyair lain. Saya tahu apa proses saya ketika menulis puisi itu. Ini merupakan empat baris pertama dari rangkap ke empat sebuah puisi saya yang bertajuk "At the Stilli's Mouth."

                With the Stilli this defeated and the sea
                turned slough by close Camano, how can water die
                with drama, in a final rich cascade,
                a suicide, a victim of terrain, a martyr?

Sewaktu saya masih muda, saya menetapkan peraturan sembarangan iaitu bila saya menuliskan nada yang saya rasa keras, nada yang saya suka terutamanya, saya akan mencari bunyi yang seakan sama dalam tiga hingga lapan suku kata setelah itu. Ia memang mewujudkan rima yang terkawal. Kenapa tiga hingga lapan suku kata? Jangan tanya. Kadang-kadang anda menulis puisi dengan cara yang lucu.

Dalam puisi ini perkataan "cascade" terdengar menarik di telinga saya dan kemudian setelah "suicide" saya belum cukup bijak untuk mengetahui bahawa keinginan saya untuk menjadikan suasana itu dramatik sebenarnya bersifat agak mentah dan direka-reka. Walau bagaimanapun, "suicide" adalah tepat dan kemudiannya membawakan "victim of terrain" dan "martyr," idea yang saling berkaitan, dan ia berbunyi seperti perkataan lain yang terdapat dalam rangkap itu, "martyr" senada dengan "drama" dan "water," "victim" seperti "final" dan "Stilli" (panggilan penduduk barat laut Washington untuk sebuah sungai, Stilliguamish). Sebagai ganti "suicide" saya juga terfikir untuk memilih "masquerade," tetapi ia tidak sesuai dan saya berharap saya mengerti kesedaran ini pada waktu itu. Atau barangkali saya sememangnya sedar tentangnya kerana "masquerade" kedengaran terlalu sama dengan "cascade," terlalu menuntut perhatian, dan di telinga saya kedengaran kurang memikat. Apa yang cuba saya terangkan adalah dengan melakukan hal sebegini saya mampu bebas dari tekanan subjek dan terus menulis puisi itu. Bunyi "suicide" yang seakan sama seperti "cascade" adalah lebih penting dari apa yang cuba diperkatakan oleh puisi itu.

Sememangnya ia tidak semestinya terjadi begitu, tetapi jika kamu berfikir dengan cara begitu untuk dua puluh lima tahun yang akan datang, kamu akan berada dalam keadaan yang selamat. 


-TAMAT-

Isnin, 12 Disember 2016

Sajak Pemenang Christmas Giveaways

Selama lebih kurang seminggu Christmas Giveaways berlangsung dan akhirnya 5 sajak sudah pun terpilih yang menurut saya cukup rempah dan sedap rasanya. Memang sukar membuat pilihan bila berhadapan dengan sajak sebab seseorang bukan sekadar berhadapan dengan teks, tetapi berhadapan dengan perasaan penulisnya, berhadapan dengan pemikiran serta pendirian penulisnya juga. Bagi yang tidak terpilih, semoga anda tetap terus menulis sebab rata-rata sajak yang diterima memang ada potensinya yang tersendiri. Yang membuat sajak hidup bukanlah sekadar perasaan mahupun suasana yang diterjemah darinya tetapi juga lenggok tari katanya yang asyik mempersona. Tahniah untuk 5 sajak terbaik Christmas Giveaways tahun ini. 


Curiga Malam - Mucky, (Khairul Kamarul)
 
di ufuk mentari tenggelam
kita kehilangan waktu
untuk menjeling sinar
yang samar
 
seperti bayangmu
yang memudar
di senja mataku
 
kerana
mendung petang itu
menduga segala
perihal malam
yang tidak gelap
curiganya



Tingkap Kamar - Siti Mardia Awang
 
Tingkap kamar
Tingkap itu menyaksikan dosa kita di kamar
Tapi apalah daya sebuah tingkap untuk mengutuk
Tika ia dipaksa untuk melihat mungkar itu
Tak punya mulut untuk mengadu
Tentang kita yang lena dalam tidur
Begitu benci untuk bangun Subuh
 
27/11/2016, Taman Melati



Terbang Tak Sama Tinggi - Enol M
 
Beginilah;
 
Kami tak punya tukang gaji
Maka debu dan habuk
Adalah tanggunganku
 
Kami tak punya tukang masak
Maka dapur dan hidangan
Adalah kewajipanku
 
Kami tak punya tukang cuci
Maka kain dan baju
Adalah pekerjaanku
 
Kami tak punya tukang kebun
Maka rumput dan rumpai
Adalah tugasanku
 
Asal usulku hanya kebanyakan sahaja
Selayak letaknya marhaen biasa
Tak seperti duduknya dalam istana
 
Tapak tangan tak berhak halus
Calar dan luka menghuni
Ada masa parut datang bersama
 
Manakan setanding dengan dewi
Manakan setaraf dengan puteri
Manakan setara dengan bidadari
 
Bukan perempuan istimewa
Hidup yang sederhana
Bukan yang serba ada
 
Maka jauh-jauhlah terbang
Pipit kekok di sebelah enggang
Sayap kecil dayanya kurang



It Was My First Love - Nooraisyah Nadiah
 
Mass is not proportional to volume,
A girl as small as violet,
A girl who moves like a flower petal,
Is pulling me towards her with more force than her mass.
 
Just then, like a Newton's apple,
I rolled towards her without stopping until I fell on her..with a thump,
My heart keep bouncing between the sky and the ground,
It was my first love.



Perihal Lelaki Yang Memintamu Membacakan Sajak - Mohammad Fahmi Bin Sedin
 
Sedikit masa lagi,
Kau bakal menjadi ibu buat anak-anakmu & serikandi kepada lelaki lain;
Pintaku, jangan lupa menceritakan hikayat kita ke anakmu.
Walaupun cerita itu nanti hanya sekadar peneman diakhir malam yang panjang.
Perihal seorang lelaki biasa yg memintamu untuk membacakan beberapa baris sajak dihadapan pelajar ramai saat kita kuliah; dan lelaki itu bertepuk tangan mengkagumimu; takjub!
walau bunyi sajakmu sekadar-sekadar itu sahaja. Lelaki itu. Aku.

Khamis, 14 April 2016

Aroma


Selain puisi dan sajak, aku juga suka masak. Aku selalu rasa senang bila lihat orang menikmati masakan sendiri. Semacam suatu kelegaan. Apatah lagi bila dia hulur pinggan dan tambah nasi. Jika aku tak lagi duduk di meja tulis suatu hari nanti, barangkali aku mundar-mandir di dapur, menghidu bau daun-daun herba dan rempah.

Isnin, 11 April 2016

Ketakutan



Ketakutan seseorang yang menulis puisi adalah kehilangan kata. Tapi aku rasa ketakutan yang rahsia/tak disedari oleh penulis puisi itu adalah keupayaannya untuk merasakan suasana persekitarannya. Kata tak hilang, kadang-kadang ia cuma berdiam. 

Dan kadang-kadang, berdiam itu lebih baik.

Isnin, 12 Oktober 2015

Menentang Stigma

Selang beberapa bulan, debat antara penerbit arus perdana dan penerbit marjinal/'indie' timbul dan setiap kalinya juga berkisar tentang persoalan yang sama: persoalan tentang bahasa, tanda aras kualiti, fungsi, atau sekadar membahaskan peranan serta sumbangan penerbitnya dalam industri buku tanah air. Seperti sebuah jaminan, perdebatan seperti ini bakal muncul semula tahun akan datang, dan ia tetap terbatas dalam lingkungan persoalan yang sama. 'Mengapa' hanyalah sebuah pertanyaan yang hampir sia-sia.

Tidak dinafikan, semenjak penerbit marjinal mula membanjiri pasaran buku, bilangan pembaca meningkat. Ada yang membaca di stesen LRT atau sewaktu menaikinya, di kedai kopi urban mahupun sekadar membaca di rumah sahaja. Ini suatu pencapaian yang mendorong dan menggalakkan penulis serta penggiat sastera untuk kembali menanam hasrat yang berkobar-kobar agar dia lebih rancak menulis dan menerbitkan buku. Secara jujurnya, kita juga harus mengakui bahawa tidak semua buku-buku ini menepati tanda aras kualiti yang telah kita persetujui untuk diguna pakai dalam bidang penulisan. Ya, kita bersikap sambil lewa dalam perbualan kita namun di suatu masa yang tertentu, kita tetap menjaga perbualan kita. Hal yang serupa tidak wajar dipandang remeh dalam penulisan. Adakah wajar sekiranya kuantiti dibanggakan tetapi kualiti dianaktirikan? Jangan kita seronok hanya kerana sebuah pesta meriah tetapi pengisiannya cuma ala kadar.

Melihat sepintas lalu, tidak kurang banyak pembaca kita hanya melihat buku sebagai suatu objek atau alat yang mengisi masa lapang. Kita bukan ingin menidakkan kebebasan pembaca untuk memilih bahan bacaannya namun jika buku selamanya sekadar dibaca di stesen LRT, di kedai kopi, atau sebagai alat bantuan tidur, atau sebuah ruang tempat kita bersembunyi dari kekacauan, apa agaknya yang terjadi apabila muncul pula perkara lain yang menggantikan buku sebagai pengisi waktu lapang?

Kita seringkali membicarakan dan membandingkan sikap penerbit arus perdana serta penerbit marjinal dari segi daya usahanya serta hasilnya, namun lupa bahawa setiap penerbit ini pula bergerak ke arah visi serta misi yang berbeza, visi dan misi yang dilihat melalui penilaian yang berbeza. Kita tidak cukup sabar untuk mencabar alasan serta tanggapan kita sendiri sebelum mempersoalkan ketidaksamaan sumbangan, peranan atau penglibatan badan-badan penerbit berkenaaan.

Segelintir pula melihat kualiti sebagai sesuatu perkara yang bersifat material. Perdebatan seperti ini secara tidak sedar melahirkan stigma dalam diri pembaca sehingga wujudnya pendirian yang pantang dijentik sedikit pun sampaikan golongan yang ini dilihat sebagai pasif dan tidak relevan, golongan yang itu dilihat sebagai sebuah golongan yang aktif dan bernafas baru pula. Orang yang mandi lalu mengenakan pakaian lama yang bersih, dan orang yang mengenakan pakaian baru tetapi tidak mandi, bau dan penampilannya tetap berbeza. 

Sememangnya mana-mana golongan yang mewujudkan lingkungannya sendiri akan dicabar oleh golongan baru yang akan mengkritik kewujudan serta arah tujunya. Dua golongan pencabar ini pula akan menimbulkan golongan baru yang memerhatikan buah-buah yang positif dari golongan pencabar tadi. Sebilangan antara kita cukup matang untuk melihat pertumbuhan ini sebagai sesuatu yang sihat dan meraikan perbezaan ini dengan cara tersendiri. Sungguh pun begitu, tetap ada yang membataskan pendirian mereka dalam sebuah lingkungan yang terlalu cepat berwaspada dengan keterbukaan. 

Apa gunanya jika seseorang hanya menuding jari dalam sebuah arena yang penuh dengan orang sehingga tidak seorang pun yang tahu dengan tepat siapa yang sedang dipersalahkan? Barangkali kita sememangnya sekadar suka memetik kesilapan dan beberapa bulan kemudiannya kembali bertengakar tentang hal yang sama, persoalan yang sama dengan sikap yang tidak pernah berubah.

Bulan Bahasa Kebangsaan berjalan sepanjang Oktober tetapi kita tetap berselimut di bawah sikap tidak ambil peduli, kita tetap berbahasa ala kadar, seolah-olah acara ini diadakan khusus untuk golongan tertentu. Sudah tentu tidak. Ia disajikan di hadapan kita, persoalannya hanyalah sama ada kita mahu atau tidak, sungguh atau sambil lewa. Kita tidak berani/malu mengaku tentang sikap ini, kita tidak berani menguji diri sendiri dan bertanya, benarkah atau beranikah kita menyahut cabaran yang dikemukakan tidak kira oleh pihak yang mana pun.

Dua kapal bergeser di tanjung kerana rumah api tidak berfungsi sepenuhnya, mengapa harus bina rumah api baru tetapi bukan membaikinya?

Sabtu, 5 September 2015

OPIA, Sebuah Pentas Mini.



OPIA adalah sebuah pentas mini yang terbuka dengan sebuah mikrofon berdiri di tengah-tengahnya. Setiap isu yang diterbitkan, La Lectrice akan menampilkan seorang penulis baru/muda bersama sajak-sajaknya untuk tatapan pembaca selain turut memuatkan kolum ulasan/kritikan, wawancara penulis dan esei. Tujuan utama penerbitan zine ini adalah untuk mencungkil, mencari, memburu penulis-penulis baru dan merakam sajak-sajak mentah sebagai sebuah usaha dokumentasi perkembangan penulisan, khususnya sajak/puisi/prosa lirik. Diharapkan agar usaha ini akan berterusan selama yang mungkin dan mendorong penulis-penulis baru bergiat lebih aktif dalam bidang penulisan ini dengan sebuah semangat yang berkobar dan bersikap meneroka.

Isu pertama OPIA akan menemui pembaca minggu hadapan, di acara Boco 15 X Idearaya yang bertempat di Laman Budaya Shah Alam. Pesanan pos akan dibuka minggu hadapan. Ikuti perkembangan terkini dan maklumat lanjut tentang OPIA di Twitter atau Instagram La Lectrice.

Rabu, 26 Ogos 2015

Kata Pembuka

Kadang-kadang tanpa sedar, kita sering menindas penulis-penulis muda samada secara sengaja mahupun tidak, dalam bermacam bentuk samada secara fizikal, emosi, dan sebagainya. Tak kurang kita lihat di media sosial atau melalui perbualan, segelintir penulis dihentam dan dikecam kerana tulisannya yang entah apa-apa. Kita terlalu cepat bersikap tidak adil dalam dunia puisi yang tak terbatas ini. Maka dengan itu, OPIA ingin melihat ke arah bagaimana penulis muda boleh didorong dalam usahanya untuk melibatkan diri dalam kegiatan sastera, khususnya bidang penulisan.

Gelanggang sastera Malaysia, khususnya bidang penulisan, sangat meriah beberapa tahun kebelakangan ini dan tak kurang banyak puisi dan sajak penulis muda yang mampu bertunas menjadi buah-buah yang baik namun sepertimana sebuah pohon hanya dapat bertumbuh dengan segala unsur yang menyokongnya, seperti itu juga harapan kami dalam usaha menerbitkan OPIA agar ia menjadi suatu anjakan serta motivasi untuk penulis-penulis baru untuk menyimpan keyakinan bahawa tulisannya boleh dicapai oleh khayalak pembaca yang lebih luas.

"When a writer first begins to write, he or she feels the same first thrill of achievement that the young gambler or oboe feels: winning a little, losing some, the gambler sees the glorious possibilities, exactly as the young oboist feels an indescribable thrill when he gets a few phrases to sound like real music, phrases implying an infinite possibility for satisfaction and self-expression. As long as the gambler or oboist is only playing at being a gambler or oboist, everything seems possible. But when the day comes that he gets his mind on becoming a professional, suddenly he realizes how much there is to learn, how little he knows."

Sebagai pesanan untuk setiap kita samada penulis mahupun pembaca sekali pun, saya tinggalkan anda dengan kata-kata John Gardner yang dipetik dari buku On Becoming A Novelist.


Nota: Ini merupakan serpihan surat editor dari zine OPIA yang bakal terbit dalam waktu terdekat ini.

Isnin, 6 Julai 2015

La Lectrice: The Kelabit Phrasebook


Sepanjang Mei sehingga Julai ini, La Lectrice telah mengusahakan terbitan phrasebook bahasa Kelabit yang kini telah pun mula beredar. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan naskah ini, anda boleh menghantar pesanan anda melalui emel ke lalectriceborneo@gmail.com atau melalui pesanan SMS/Whatsapp di nombor 013-8354560. Naskah berkulit keras ini dijual dengan harga RM20 (tidak termasuk pos) dan caj pos dikenakan RM10 untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia, RM6 ke Sabah/Sarawak.
Penerbitan buku ini bukan saja sebuah usaha untuk memperkenalkan bahasa Kelabit malah juga sebuah usaha untuk memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat ini kepada masyarakat umum. Berikut merupakan sebahagian pengenalan yang dimuatkan dalam naskah ini:
“Bario, a small Malaysian village is the main settlement of the Kelabit tribes in the northest of Sarawak, close to the international border of Kalimantan Indonesia. Today, there are 16 villages in the area, which include Pa’ Umor, Pa’ Ukat, Pa’ Lungan (located along the Depbur basin), Long Dano, Pa’ Dalih, Ramudu (located along Kelapang basin), and Pa’ Ramapuh Benah, Pa’ Ramapuh Dita, Pa’ Derung, Ulung Palang Dita, Ulung Palang Benah, Padang Pasir, Kampung Baru, Arur Layun, Bario Asal and Arur Dalan, in the Merariu river basin. There are four other Kelabit settlements located further down the tributaries of the Baram River: Long Peluan, Long Seridan, Long Lellang and Long Napir. The Kelabit Highland is elevated at 1000m (3280ft) above sea level. Bario or “Bariew” in Kelabit language simple means “the valley of the wind”, which explains the pleasant temperature of 16-25 degree Celsius throughout the year.
The Kelabit is one of the smallest ethnic group with approximately 5000 people. Like many other indigenous communities in Sarawak, the Kelabits live in long houses on the highlands. There are about 1800 people living in the highlands today while many have migrated to live in the urban areas over the last 30 years to get further educations and to get jobs that suits their qualifications. The Kelabits are high achievers, highly educated and extremely bright and many are involved in professional occupations such as doctors, lawyers and engineers.
Over a century ago, the Kelabits involved in headhunting raids, not so much for ritual purposes but as a means to prove one’s courage, bravery, and to get even with their enemies. A Kelabit man who succeeded in those headhunting exploits often hailed as a hero and looked upon as role model by the young ones. Stories of these exploits are often told in the form of oral stories, for example the stories of Agan Tadun, who is a legendary Kelabit warrior which encountered in legends, myths, and traditional songs, which all speaks of his bravery and strength as a warrior. But things have changed and today, the Kelabits are well known for their friendliness and hospitality. They embraced Christianity in the early 70’s and most of them abandoned their traditional beliefs.
The Kelabit wore very simple clothing in the old days. A man wore a loin cloth and a vest made from tree bark or go without shirt, while a woman wear a knee length skirt and adorned herself with necklace and head gear made of beads.
Family life is highly valued among the Kelabits. The family does not only act as a social unit but also an economical one. The father or husband is considered as the head of the household. He is responsible for making any leadership decisions for the family. The mother or the wife is responsible for making economic decisions, for example, to decide when to start farming each year. The husband is expected to bring back meat and fish for the family while the wife will collect vegetables, mushrooms, and herbs from the jungle for the family. A family seldom keep animals as pet. Some keep cats to keep pest away and dogs for hunting. Chicken and ducks are reared for their meat and eggs, water buffaloes are reared to prepare the fields for farming, also to carry heavy loads.
Most of the time, the Kelabits obtain their food from the jungle or their own little garden. Wild vegetables and herbs are collected from the jungle. They also grow their own rice, not only for domestic consumption but also for sale. They cultivate the famous Bario Rice which is well known for its sweet aroma and pleasant taste. The Kelabits also produce their own salt that is called the Kelabit Salt or Bario Salt. This salt is obtained by evaporating the salty water from salt springs found in the highlands. A few salt springs can be found close to Pa’ Umor, Pa’ Bangar and Pa’ Main. The salt is used for cooking and also to preserve meat. Besides the salt, Bario is also known for its juicy and sweet pineapples. Be sure to try some when you’re in Bario!
The Kelabits in the highlands spend most of their time and effort with farming and rice cultivation activities. Other economic activities such as hunting, fishing, gardening, or weaving handicrafts are usually done when they are free from activities in the farm. The Kelabits may have gone through rapid changes in a short span of 50 years but they still maintain a certain aspect of their culture which are unique, particularly their music and dances. The traditional music instrument is called a sape, a plucked lute instrument which is carved from a tree trunk in an elongated rectangular shape with a homogeneous neck extending from one end of the body. The Kelabits also play the pagang which is a tube zither, made from a length of bamboo tube closed at both ends by its natural bamboo nodes. Sape (Sa-Pay) and Pagang (Pa-gang) are often used to accompany the Kelabit traditional dances. Some famous dances are the hornbill dance, the warrior dance, the long dance and the single dance. The famous hornbill dance is performed in imitation of the shy, beautiful and gracious hornbill bird. Another important part of the Kelabit cultural heritage is the Irau Meka Ngadan (E-rau Me-ka Nga-dun). The feast is held both as an act of gratitude and thanksgiving to God for providing a married couple with children.”

Ulasan Buku: Secangkir Seduhan Hujan, Hani Salwah Yaakup



Saya setuju bila Hani mengatakan bahawa hujan, kopi, dan kembara boleh mengubat kesusahan menulis puisi. Ini kerana saya sendiri turut melakukan hal yang sama. Seringkali puisi menjelmakan dirinya pertama kali sebagai sebaris ayat mahupun sepatah kata sebelum ia membesar dan menjelma sebagai sebuah puisi yang siap.

Sebagai pembaca, kita juga harus ingat bahawa hujan, kopi, kafe, kembara bukan berniat untuk mengatakan bahawa puisi lahir kerana penulisnya berada dalam suasana santai di kafe hipster sambil melihat hujan yang mencurah di luar jendelanya. Berada di luar rumah bermakna seorang penulis itu keluar untuk membuat pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya, melihat secara dekat sesuatu yang halus dengan harapan percikan hujan menjelma sebagai sebahagian dari puisinya.

Sangat sukar untuk menulis puisi berdasarkan tanggapan dan imaginasi semata. Sebab itu mengembara ke luar lingkungan meja tulis di kamar penulis adalah sebuah usaha yang pertama sekali dilakukan untuk memulakan sebuah puisi. Kalau puisi selalu diibaratlan sebagai sebuah dunia, maka seorang penulis puisi sememangnya harus terlibat dalam suasana dan keadaan dunia itu.

Hujan bukan sekadar sebuah suasana tetapi juga sebuah perjalanan. Bayangkan bagaimana titis hujan menggelongsor dari langit ke tanah sehingga ia menemui celahan sempit antara pasu bunga sebelum perjalanannya tiba ke tali air dan seterusnya ke sungai dan terlepas di muara menuju lautan. Begitu juga halnya dengan puisi, ia bermula dari percikan fikiran dan pendirian penulisnya, sebelum berdentum dan tercatat dalam selembar kertas.

Memang hujan dan secangkir kopi sering menjadi pengantara pemikiran penyair dan pembacanya, barangkali kerana kedua-dua subjek ini mampu menimbulkan panggilan terhadap pembaca untuk duduk dan membaca puisi. Let's talk over coffee kata seseorang kepadamu, lalu apakah pertanyaan yang pertama sekali hadir dalam fikiranmu? Sudah tentu yang pertama sekali anda tertanya-tanya tentang apa yang ingin diperkatakan dan soal kopi apa yang diminum jatuh di tempat terakhir.

Seperti itu juga Hani menulis puisi-puisinya. Dia mengajak pembacanya duduk sambil menikmati secawan kopi dan sesudah itu dia pun mula bercerita.


Aku bertanya kepadanya
bahasa apa yang sedang dibicarai kita?

Jawabnya:
"Kita sedang berbicara
bahasa senyum
di kota yang sudah terlalu beku
untuk hanya menuturkan
tentang jiwa."

(Kota Beku, m/s 79)

Selasa, 9 Jun 2015

Sejumlah Kata Dan Ratapan Biola


Angka-angka di jam dinding itu lebih tahu cara untuk maju. Sejumlah ingatan tertanda di waktu-waktu tertentu. Kita akan lupa namun di waktu-waktu tertentu, musim seakan berjalan lebih perlahan. Ingatan yang sedayanya dihindari tiba-tiba hinggap di jendela dingin yang sudah lama bisu. Kita selalu ingin membuka jendela itu seluasnya atas alasan ingin menikmati angin di musim ini. Tak ada yang lebih dingin dari musim yang pudar dan buntu. Seperti pohon-pohon yang tetap berdiri dalam dingin yang menghentam ini, seperti itu seharusnya orang-orang yang terluka belajar menjadi teguh.

Angka-angka di jam dinding sudah tahu tentang hari dan waktu yang mendatang. Seperti mana bunga-bunga akan tumbuh kembali di musim yang berkilau emas itu nanti, seperti itu kita menanggalkan kertas kalender yang telah ditandai dengan balada yang terluka; hari demi hari.

Kita pun tiba akhirnya di musim yang berkilau itu. Seperti nafas yang pernah meringkuk dalam koma, sejumlah ingatan yang pudar mencatat kelibatnya di jendela. Kenangan, seperti seorang kekasih yang setia, tidak akan pantas melepaskan. Ia menyentuh bekas luka, menciumnya dan berkata, "Aku pernah ada, dan punya alasan untuk akhirnya tiada." Orang-orang terluka, seperti kita, akan selalu tahu bagaimana caranya untuk menghadapi sejumlah kenangan yang bebas di udara. Kerana kita sudah begitu akrab dengan takungan airmata di telapak tangan yang ditinggalkan ini.

Rabu, 3 Jun 2015

Sepasang Soneta: Separuh Kita Yang Hilang



Sepasang Soneta: Separuh Kita Yang Hilang

I
Apalah ertinya seekor burung
mendiami sangkar
andai ia tak tertawa dengan mekar,
lena dalam ratapan murung.
Dakapan memang tak tercipta untuk selamanya ada,
waktu akan tiba untuk melepaskan.
Sepertimana sepasang sayap harus bebas menyusuri awan,
sepasang lengan harus belajar untuk rela.
Barangkali ada pagi
yang tercipta bukan sekadar untuk hangat mentari,
tapi juga untuk airmata yang sepi,
dan lagu-lagu sayu,
agar orang-orang seperti kau dan aku
dapat belajar untuk maju.


II
...










Isnin, 4 Mei 2015

Ulasan Buku: Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat


Aku bukanlah orang yang mudah untuk menulis sebuah refleksi setelah membaca buku-buku. Untuk orang yang terlalu cerewet dalam membaca, paling kurang ada dua sebab kenapa dia tidak mahu menulis sebarang ulasan selepas menghabiskan buku yang dibacanya - sama ada buku itu tidak mendatangkan minat kepadanya untuk diulas atau dia tidak mahu berseteru dengan penulisnya selepas mengulas.

Tetapi tidak buat Sekumpulan Epitaf & Surat-Surat Yang Lewat. Karl Agan berjaya memaksa aku untuk menaip juga papan kekunci laptop seusai menutup halaman terakhir dalam puisi bukunya itu yang bertajuk  Poskad Dan Alamat Yang Kau Hafal dengan dua bait terakhir,

"betapa pun laut menjarakkan kita
dan angin bertiup berlainan arah."

Sejujurnya, membaca puisi-puisi Karl Agan tidak menemukan aku dengan sebarang pembaharuan kata mahupun teknik sekalipun untuk aku ucapkan tahniah kepada kerana telah berjaya memilih kata-kata yang menurutnya adalah kumpulan kata-kata daripada batu nisan. Ya, epitaf itu maksudnya ialah tulisan-tulisan di batu nisan. Mungkin itulah kelainannya, jika benar, bahawa kumpulan puisi yang baru habis kubaca ini adalah dikutip daripada batu-batu nisan. Jika benarlah. Tetapi aku tidak percaya pun perkara itu kerana pemuisi ada yang jujur tetapi banyak juga yang menipu. Tetapi mungkin juga ada benarnya, kerana adakala pengucapan Karl Agan berbentuk nasihat ringkas yang wajar ditulis di batu nisan sebagai wadah muhasabah untuk kita meneruskan kehidupan.

Tetapi sesuatu yang aku rasa aku harus percaya dan aku rasa itu sebabnya aku memilih untuk menulis tulisan ini ialah, puisi-puisi ini lahir daripada sebuah kejujuran. Aku sentiasa percaya bahawa sebuah puisi itu harus lahir daripada kejujuran untuk menjadikannya terus hidup. Puisi ini juga memiliki nyawanya dan jasadnya. Kata-kata itu adalah jasad yang kita baca, dan nyawanya adalah emosi yang diresapkan ke hati pembaca kata-kata lalu menjadi darah daging dan ianya terus bergerak dalam hati pembaca kata-kata itu.

Dan puisi itu tidak akan bernyawa tanpa kejujuran daripada hati pemuisi itu sendiri yang menumpahkan isi hatinya ke dalam kata-kata dan coretan-coretan yang dibina adalah lahir daripada gerak halus hati yang ingin berkongsi apa yang dirasainya kepada orang lain. Sebab itu aku semakin mula tidak percaya dengan puisi-puisi yang dihias dengan lenggok bahasa bintang dan langit sekadar hendak menaikkan seri puisinya sedangkan ianya hanyalah sekadar pendustaan yang tidak membawa sebarang makna yang dapat dirasa.

Kejujuran dalam puisi-puisi Karl Agan mengingatkan aku kepada puisi-puisi William Butler Yeats yang sering aku senangi kerana kejujuran makna yang diberi tetapi kata-katanya tersusun rapi atau puisi-puisi Emily Dickinson yang selalu ringkas dan bercerita tentang kehidupan diri sendiri. Pengucapan Karl Agan yang begitu sederhana dalam puisi-puisinya menjadikan aku sangat selesa untuk menyelak helaian-helaian muka suratnya dengan perlahan-lahan tanpa perlu tergopoh-gopoh untuk menghabiskannya. Kumpulan puisinya aku baca berselang-seli sebagai tempat merehatkan diri sambil membaca buku-buku akademikal yang berat-berat.

Aku tidak tahu mengapa, tetapi puisi-puisi Karl Agan ini sentiasa membayangkan aku kepada Sapardi yang sedang membawa haluan yang lebih jujur dan keluar daripada kebiasannya yang menyelit-nyelit makna dalam puisinya. Sebab itu mata aku agak terbuntang seketika ketika menyelak halaman 100 dan membaca tajuknya, Mencuri Sajak Sapardi. Ketika ini Karl Agan bagai mula mengakui bahawa dia sedang mencuri sajak Sapardi tetapi digarapnya dengan lebih jujur.

"Aku cuba mencuri sajak Sapardi
dan mencintaimu dengan sederhana,
tapi aku selalu merasakan terlebih
dan kau sering merasakan yang kurang,
maka ku pinjam piano Jokpin
dan meletuplah nada-nada
yang tak terungkai oleh kata."

Tetapi sesuatu perkara baru yang aku belajar daripada seorang Karl Agan - "puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi." Begitu kata Karl Agan dalam puisnya yang bertajuk Mitos. Kata-kata ini seperti agak sukar untuk dicabar, sekurang-kurangnya untuk seseorang yang sentiasa bersendirian dan puisi-puisinya hanyalah sebagai teman tempat dia meluahkan isi hatinya tanpa dia mempedulikan sama ada ianya dibaca atau tidak. Aku seperti dapat merasai naluri kesunyian itu dalam keseluruhan puisi-puisinya yang seperti membawa aku ke suatu ruang yang aku duduk dan berseorangan merenungi diri sendiri. Puisi-puisi Karl Agan bagi aku terlalu peribadi, dan Karl Agan bagaikan begitu berani untuk orang lain turut membaca coretan-coretan peribadinya yang orang lain tidak akan berani untuk mengeluarkannya daripada diari. Sebab itu membaca puisi-puisinya adalah seperti sedang membaca diri sendiri.

Puisi-puisi Karl Agan adalah puisi orang yang patah hati. Sebab itu banyak puisinya berkisarkan cinta yang tumpas dan ditujukan kepada kekasih yang telah bergelar mantan sehingga ada puisi-puisinya yang bertajuk Berlalulah, Mantan Kekasihku atau dalam sajak Epitaf, ianya diakhiri dengan bait,

“kepada mantan kekasihku,
Berlalulah."

Maka seusai menutup kumpulan puisinya itu, aku perlu segera mengenal dan mengejar kehidupan yang dia titipkan pesan lewat puisinya Mengenal Kehidupan yang sepatutnya bagi aku harus berada sebagai puisi yang paling belakang.

"Kalaupun kota ini mengajar sesuatu,
ia mengajar tentang satu hal,
bahwa kehidupan hanya ada
nun jauh di rumah yang kita tinggalkan."

Di tangan seorang pemuisi, kehidupan itu diwakilkan menjadi kata-kata kita dibawa menelusurinya. Tetapi di tangan Karl Agan, kita sedang dibawa untuk menelusuri dirinya sendiri kerana itu dia menulis puisi yang katanya, "Puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi."

*Ulasan buku Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat oleh saudara Ahmad Muziru Idham. Gambar dan tulisan dipetik dari laman Facebook beliau. 

Isnin, 20 April 2015

Sebuah Renungan Tentang Ketakutan Sastera Hari Ini: Puisi Hati.

Aku duduk di kamar ini
mengenang nasib yang menimpa diri.
Celakalah si jahanam,
meninggalkan aku sendiri.

Lupakah kau pada kenangan
yang kita kongsi bersama?
Kini aku cuba mencari ketenangan
setelah kau tiada.

Jangan kembali kepadaku,
kerana sedikit pun aku tak kisah tentangmu.
Berambus dari sini!
Aku tak perlu kau lagi!

Puisi ini saya tulis dalam waktu kurang dari 5 minit. Caranya mudah, hanya perlu guna rumus rima di akhir baris dan pastikan jumlah baris adalah sama untuk setiap rangkap. Sewaktu menulis ini, saya sedang mengalami emosi yang tidak terkawal. Memang tidak ada orang yang akan mengerti tentang kesedihan saya. Puisi ini saya tulis untuk meluahkan perasaan dan cuba untuk melupakan kenangan dulu. Cinta itu perit dan tidak selalunya indah seperti yang kita selalu bayangkan. Menulis puisi adalah satu terapi dan cara untuk melupakan kenangan lalu.

Ahad, 19 April 2015

Ulasan Buku: Di Pinggulmu Ada Bulan.



"Humankind cannot bear very much reality", T.S Eliot berkata dalam Four Quartets. Saya membayangkan T.S Eliot tertidur di meja tulisnya setelah menulis beberapa rangkap sonetanya yang panjang itu. Apakah sajak itu satu pelarian dari hal-hal yang nyata? Apakah pelarian ini bermakna seseorang itu penat dengan dunia dan cuba untuk melupakannya? Hadi bukan orang yang senang mengaku kalah.

Hadi memulakan buku Di Pinggulmu Ada Bulan dengan kutipan dari T.S Eliot;

Words, after speech, reach
Into the silence.

Only by the form, the pattern,
Can words or music reach
The stillness, as a Chinese jar still
Moves perpetually in its stillness.

Prakata buku ini ditulis Hadi sendiri dan membaca prakata ini, seolah-olah ada suara tegas yang mengatakan bahawa "Aku masuk ke dalam puisi bukan dengan patah hati, bukan dengan tangan kosong, malah aku masuk kerana telah aku menemukan rahsia dalam kesunyianku". Bagi Hadi, kesunyian adalah satu ekstasi seorang penyair. Tanpanya, permainan imaginasi di dalam puisi bisa jadi kaku dan mati. Saya setuju dengan kenyataan itu dengan syarat, penyair itu mengenal kesunyiannya yang tulen dan bukan kesunyiaan kerana ia sememangnya ingin menjauhkan dirinya dari kelompok ramai.

Menulis sajak, memilih kata, menyusun rima, menyelidiki makna; penyair sentiasa sunyi dalam pekerjaannya membangunkan sajak. Bekerja dan bergelut dengan kata menuntut fokus penyair sendiri. Adalah sukar untuk mengatakan bahawa idea yang mendatangi seorang penyair itu adalah asli kerana seorang penyair terbatas oleh kerana pemikiran dan tunjang falsafahnya. Dalam kesunyiannya itu, penyair bertarung dengan pemikiran serta pertanyaan dalam dirinya dan dari ini lahirnya apa yang pembaca lihat sebagai tema/persoalan dalam sajak. Kesunyian seorang penyair tidak seperti yang kita rasa menjelang malam; pungguk bersahutan, cengkerik atau bulbul bernyanyian. Dunia penyair yang sunyi itu penuh dengan suara-suara resah dan mendesak, yang ingin bebas menari di atas kertas.

Di Pinggulmu Ada Bulan adalah sebuah buku yang penuh dengan suara-suara resah dan mendesak itu. Saya tidak dapat membayangkan seperti apa proses kreatif Hadi sewaktu mengerjakan manuskrip naskah ini. Sudah tentu proses itu sebuah usaha yang membebankan, terutamanya dari segi emosi. Kita harus mengakui, tidak ada penyair yang mampu menulis tentang hal-hal yang membahagiakan kerana kebahagian adalah sesuatu yang dinikmati terus, keresahan dan kepiluan adalah sesuatu yang hadir tanpa bicara. Sepertimana ditulis Hadi dalam puisi bertajuk "Kadangkala" (m/s 48);

Cinta
kadangkala
tidak harus mekar,
jika tumbuhnya
sekadar membuah
pada perpisahan.

"Sebuah sajak yang menjadi adalah suatu dunia", kutipan dari penyair besar Indonesia, Chairil Anwar. Kutipan ini secara tidak langsung menggambarkan sajak itu tidak boleh tidak sesuatu yang bersifat alam. Penyair muda akhir ini berusaha untuk keluar dari lingkungan metafora yang bersifat alam kerana metafora sebegini sudah lazim diguna dan disemat dalam sajak-sajak penyair mapan dan dikatakan tidak segar untuk dunia yang semakin laju berputar. Mengatakan bahawa alam adalah metafora yang tidak lagi segar dalam sajak adalah kenyataan yang selamanya salah. Yang harus dipersalahkan ialah penyairnya yang tidak tahu memilih tumbuhan yang segar untuk dijadikan juadah dalam sajaknya. Hadi seorang yang rajin berkebun. Dia memilih sayur-sayur matang dan segar daunnya untuk dijadikan juadah dalam sajak-sajaknya. Misalnya ketika Hadi sedang "Meditasi Kesunyian Di Suatu Siang" (m/s 11);

Sekumpulan camar di waktu petang
sedang berhimpun di pesisir pantai.
Satu daripadanya mereka mula berdiri
di atas sebuah batu yang tinggi
lalu berucap dengan lantang sekali:
'Kita harus bersatu menentang penyair itu
yang tak habis-habis meminjam kita
untuk disemat pada puisi-puisi resah mereka.
Kerana kita adalah makhluk yang damai.'

Sepertimana sebuah kebahagian bermula dari keresahan, keresahan juga hanya reda apabila ia menemukan damai yang membahagiakan. Menjadikan alam sebagai metafora dalam sajak sudah dikerjakan penyair-penyair besar dan selamanya, alam tidak akan menemukan batasnya dalam sajak. Sebuah peringatan untuk penyair muda yang darahnya masih terlalu merah.

Buku Di Pinggulmu Ada Bulan juga memperlihatkan betapa penulisnya senang dengan gaya puisi soneta. Teknik ini sudah digunakan begitu lama dan begitu lazim dalam membangunkan sebuah puisi. Seperti yang kita sedia maklum, puisi soneta adalah sebuah usaha yang berdisiplin dan terikat dengan syaratnya rimanya. Ia lazimnya digunakan untuk menulis curahan hati namun kini tidak lagi terbatas dengan syarat temanya. Puisi soneta menuntut ketajaman pemikiran serta penggunaan bahasa yang baik, Hadi membuktikan bahawa dia bukan penyair yang terbatas dalam lingkungan teknik tertentu. Dia berusaha untuk meneroka kemungkinan dengan cara mencuba teknik soneta misalnya, untuk menulis tentang solitudnya.

Menyusuri bacaan ini hingga ke mukasurat terakhir, saya mengakui bahawa kita tidak akan ketandusan penyair yang berbakat. Ulasan ini tertulis dengan tujuan agar pembaca sekalian mahu menghadapi naskah ini dan meneroka sendiri kemungkinan yang ada dalam sajak-sajak yang ditulis oleh Hadi. Buku ini adalah tentang keresahan Hadi, tentang damai yang ditemukannya dalam kesunyiannya yang tersendiri. 

Seperti apa pun persoalan yang mendorong Hadi unrtuk menulis sajak-sajak dalam buku ini, tugas pembaca bukan untuk mengetahui apa yang terjadi dalam hidup penyair melainkan apa yang dapat kita hayati melalui tulisan dan bahasa yang digunakan. Hadi tidak selamanya menyanyi tentang apa yang dilewatinya dalam hidup. Di waktu seperti ini dia duduk dan meneroka kemungkinan puisi.