Di sebuah café, seorang
pembaca memandu matanya menyusuri lorong-lorong antara baris-baris kata dalam
selembar sajak, sesekali mengelamun di antara baris-baris itu sebelum singgah
untuk rehat sebentar di hujung stanza. Kemudian setelah beberapa waktu, menyambung
perjalanannya menyusuri stanza dalam perjalanan seterusnya. Begitulah metafora
dalam sajak, ibarat sebuah pemandangan yang dilihat dalam sebuah perjalanan,
menandai perjalanan itu dengan makna yang seringkali tidak terlihat namun
dirasa dalam getar tubuh dan deria manusia. Metafora bukan sekadar sebuah ingatan melalui
pemandangan tetapi sebuah ingatan tentang apa yang berlaku dalam sebuah
perjalanan sajak, sepertimana kita mengingati buih-buih yang dipintal Latiff
Mohidin di sebuah pantai untuk kekasihnya.
Metafora bukan sebuah
penyimpangan dari tujuan asalnya, tetapi sebuah pengucapan yang lembut sekaligus tegas sebagai
sebuah dorongan agar seorang pembaca melibatkan dirinya dalam sajak dengan
sebuah tumpuan yang tidak sia-sia. Walaupun begitu, ramai penyair kelihatannya
lebih senang bercerita di bawah pohon rendang lewat secangkir kopi dan rokok
yang tidak pernah padam, atau berbaring di padang rumput berbumbungkan
bintang-bintang angkasa, bermentolkan bulan purnama. Terlalu sedikit yang bangun
dari tempat duduknya dan menjadi tour guide
untuk sebuah perjalanan yang sukar dilupakan.
Sajak sememangnya bukan sebuah
perjalanan yang mudah. Seringkali ada yang terkandas di baris-baris kata kerana
kehabisan bahan bakar atau kerana perjalanan itu terlalu sukar dan tidak
memberi apa-apa makna lagi kepada pembaca samada dari segi emosi mahupun
kehidupan secara keseluruhannya. Sepertimana sajak tidak berpaksi kepada satu
aturan yang mendatar, metafora juga hadir sebagai suatu unsur yang memainkan
peranan penting dalam menentukan suasana puitis sebuah sajak jika ia wujud
sebagai satu sosok yang kuat dan memancar.
Seorang penyair duduk di meja
kerjanya dan menulis sajak, pertama sekali dia datang dengan tujuan yang satu,
untuk mencipta keabadian momen yang telah dilaluinya melalui kata-kata di atas
selembar kertas. Penyair itu harus memikirkan metafora yang paling sesuai untuk
menandai keabadian ini.
Sebuah sajak rosak hanya
kerana mataharinya terbit lewat atau malamnya terlalu panjang. Adalah menjadi
tugas seorang penyair untuk mengatur nasib dan ketentuan dalam sajaknya agar ia
mampu hadir sebagai sebuah gambaran yang mampu menandai halaman buku puisi
dengan lipatan kecil di hujung beberapa mukasuratnya. Persoalannya, bagaimana
seorang penyair mampu melahirkan metafora yang paling sesuai untuk sebuah
sajak?
Secara formal, kita mendekati
definisi metafora yang menyebut bahawa metafora adalah gaya bahasa kiasan atau
perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa kata atau frasa
dalam sesebuah sajak. Metafora adalah cetusan kretiviti penyair dan setiap
penyair memiliki gaya penciptaan metaforanya tersendiri. Ini bahkan menentukan style mengarang seseorang penyair dan melalui style inilah pembaca boleh mengenal sesebuah puisi
sungguhpun ia tidak tertulis nama penyairnya.
Jika dihuraikan dengan dengan lebih lanjut, secara asasnya, ada tiga jenis metafora yang selalu berkeliaran dalam
puisi, iaitu metafora implisit, metafora rancu, dan metafora usang. Sungguhpun
ia dibahagikan kepada tiga kategori ini, ia tidak terikat pada kata-kata
tertentu dan penyairnya bebas mencipta sebuah metafora menurut pandangan,
pendirian, serta pertimbangannya dalam penulisan puisi. Tanpa melihat dengan
terlalu mendalam dan teliti, secara kasarnya rata-rata penyair muda akhir ini
bebas bermain dengan metafora implisit dan metafora usang. Sukar diketahui
samada penyair-penyair ini menyedari hal ini atau tidak.
Jika para sarjana sastera
mengatakan bahawa metafora adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan idea
atau pesanan, mengapa agaknya kita masih melihat ke luar jendela puisi dan
hanya melihat kabus yang mengaburi pandangan kita? Yang jarang kita sedari,
metafora sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan tahap pemikiran dan
kematangan seorang penulis dalam membangunkan karyanya. Andai penulis itu tajam
dari segi pemikiran mahupun menglihatannya, menggubah metafora menjadi alat
penyampai tidaklah sesukar yang disangkakan. Yang sering kali terjadi,
pembaca menganggap bahawa metafora haruslah hadir sebagai sepotong ayat yang
indah, penuh dengan kata-kata yang “bombastic” atau gah, sangat berkias dan kabur. Ini
sebuah tanggapan yang salah.
Ini sungai berliku
Airnya
sekeras batu
Arusnya
mata pisau
Muaranya
tanda tanyaku
Membaca baris-baris ini dalam
puisi “Sungai Hayat” yang ditulis oleh Jair Sulai, kita melihat bagaimana si
penulis menggambarkan kehidupan ini sebagai sebuah sungai. Menjalani kehidupan
ini amat sukar, penuh dengan rintangan. Cabaran yang dihadapi dalam kehidupan
diumpamakan sebagai arus yang seperti mata pisau, tajam dan boleh melukakan.
Muara sungai diibaratkan sebagai masa depan, sebuah lingkungan waktu yang tidak
dapat diandaikan dan digenggam. Hanya terlihat setelah kita menyusuri sungainya
dari hulu ke muara. Melihat kata-kata yang dipilih untuk membina baris-baris tersebut, apakah kata-kata itu adalah kata-kata yang sukar difahami? Tidak sama sekali. Jair Sulai membina baris-baris itu dengan kata-kata yang dipilih dengan tepat dan menyusunnya untuk menggambarkan kehidupan manusia dengan perumpamaan sungai.
Penggunaan sungai atau alam sebagai
sumber metafora bukanlah suatu perkara baru. Penulis yang bijak boleh saja
mengulang metafora ini dalam pembikinan puisi-puisi baru tapi dengan
penglihatan dan pendekatan yang berbeza, metafora ini mempunyai kemungkinan
untuk memberi gambaran yang boleh menghantui pembacanya.
Mungkin ada yang ingin
berhujah mengatakan bahawa sebuah sajak yang terlalu digauli metafora tidak
mampu menyampaikan pesanannya secara tepat maka kita harus kembali melihat
kepada tugas dan peranan puisi. Adakah setiap puisi harus terbeban dengan tugas
sebagai pengantaraan mesej sahaja? Sudah tentu tidak. Puisi harus dibebaskan
dan hanya melalui kebebasan ini ia mampu menerokai lorong-lorong dan
kemungkinan yang boleh berlaku. Mengadakan sekatan terhadap puisi sama seperti
membataskan pemikiran serta penglihatan pembacanya.
Puisi tidak pernah menawarkan
jalan pintas sekalipun ia tertulis hanya dalam dua baris ayat. Puisi adalah
sebuah perjalanan yang panjang dan menuntut kesedaran tentang hal-hal dilihat
sepanjang perjalanan itu. Hal-hal ini pula seringkali kecil dan tidak kelihatan
begitu jelas di mata penyair di pandangan pertama. Sebab itulah menulis puisi adalah sebuah
pekerjaan yang berterusan dalam jangka masa yang lama. Penyair bukan seorang
tukang kebun yang tugasnya hanya mencantikkan pemandangan dan tugas metafora
bukan sebagai perhiasan semata-mata. Metafora boleh diibaratkan sebagai sebilah
pedang yang boleh menghunus dada pembaca atau barangkali seorang Romeo yang
membikin jatuh cinta.
Mengingat kata Milan Kundera
dalam bukunya The Unberable Lightness of
Being, “Metaphors are not to be
trifled with. A single metaphor can give birth to love.” Metafora adalah
nadi sebuah sajak dan dari degup nadi itu, kita merasakan debar sebuah
perjalanan yang mencemaskan dada pembacanya.
Penyair boleh dianggap sebagai
golongan yang beruntung kerana diberi licentia
poetica. Adalah menjadi satu kerugian untuk seorang penyair andai
kesempatan ini tidak digunakan untuk menerokai kemungkinan yang boleh berlaku
apabila memanipulasikan bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan