Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Isnin, 6 Julai 2015

Ulasan Buku: Secangkir Seduhan Hujan, Hani Salwah Yaakup



Saya setuju bila Hani mengatakan bahawa hujan, kopi, dan kembara boleh mengubat kesusahan menulis puisi. Ini kerana saya sendiri turut melakukan hal yang sama. Seringkali puisi menjelmakan dirinya pertama kali sebagai sebaris ayat mahupun sepatah kata sebelum ia membesar dan menjelma sebagai sebuah puisi yang siap.

Sebagai pembaca, kita juga harus ingat bahawa hujan, kopi, kafe, kembara bukan berniat untuk mengatakan bahawa puisi lahir kerana penulisnya berada dalam suasana santai di kafe hipster sambil melihat hujan yang mencurah di luar jendelanya. Berada di luar rumah bermakna seorang penulis itu keluar untuk membuat pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya, melihat secara dekat sesuatu yang halus dengan harapan percikan hujan menjelma sebagai sebahagian dari puisinya.

Sangat sukar untuk menulis puisi berdasarkan tanggapan dan imaginasi semata. Sebab itu mengembara ke luar lingkungan meja tulis di kamar penulis adalah sebuah usaha yang pertama sekali dilakukan untuk memulakan sebuah puisi. Kalau puisi selalu diibaratlan sebagai sebuah dunia, maka seorang penulis puisi sememangnya harus terlibat dalam suasana dan keadaan dunia itu.

Hujan bukan sekadar sebuah suasana tetapi juga sebuah perjalanan. Bayangkan bagaimana titis hujan menggelongsor dari langit ke tanah sehingga ia menemui celahan sempit antara pasu bunga sebelum perjalanannya tiba ke tali air dan seterusnya ke sungai dan terlepas di muara menuju lautan. Begitu juga halnya dengan puisi, ia bermula dari percikan fikiran dan pendirian penulisnya, sebelum berdentum dan tercatat dalam selembar kertas.

Memang hujan dan secangkir kopi sering menjadi pengantara pemikiran penyair dan pembacanya, barangkali kerana kedua-dua subjek ini mampu menimbulkan panggilan terhadap pembaca untuk duduk dan membaca puisi. Let's talk over coffee kata seseorang kepadamu, lalu apakah pertanyaan yang pertama sekali hadir dalam fikiranmu? Sudah tentu yang pertama sekali anda tertanya-tanya tentang apa yang ingin diperkatakan dan soal kopi apa yang diminum jatuh di tempat terakhir.

Seperti itu juga Hani menulis puisi-puisinya. Dia mengajak pembacanya duduk sambil menikmati secawan kopi dan sesudah itu dia pun mula bercerita.


Aku bertanya kepadanya
bahasa apa yang sedang dibicarai kita?

Jawabnya:
"Kita sedang berbicara
bahasa senyum
di kota yang sudah terlalu beku
untuk hanya menuturkan
tentang jiwa."

(Kota Beku, m/s 79)

Isnin, 4 Mei 2015

Ulasan Buku: Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat


Aku bukanlah orang yang mudah untuk menulis sebuah refleksi setelah membaca buku-buku. Untuk orang yang terlalu cerewet dalam membaca, paling kurang ada dua sebab kenapa dia tidak mahu menulis sebarang ulasan selepas menghabiskan buku yang dibacanya - sama ada buku itu tidak mendatangkan minat kepadanya untuk diulas atau dia tidak mahu berseteru dengan penulisnya selepas mengulas.

Tetapi tidak buat Sekumpulan Epitaf & Surat-Surat Yang Lewat. Karl Agan berjaya memaksa aku untuk menaip juga papan kekunci laptop seusai menutup halaman terakhir dalam puisi bukunya itu yang bertajuk  Poskad Dan Alamat Yang Kau Hafal dengan dua bait terakhir,

"betapa pun laut menjarakkan kita
dan angin bertiup berlainan arah."

Sejujurnya, membaca puisi-puisi Karl Agan tidak menemukan aku dengan sebarang pembaharuan kata mahupun teknik sekalipun untuk aku ucapkan tahniah kepada kerana telah berjaya memilih kata-kata yang menurutnya adalah kumpulan kata-kata daripada batu nisan. Ya, epitaf itu maksudnya ialah tulisan-tulisan di batu nisan. Mungkin itulah kelainannya, jika benar, bahawa kumpulan puisi yang baru habis kubaca ini adalah dikutip daripada batu-batu nisan. Jika benarlah. Tetapi aku tidak percaya pun perkara itu kerana pemuisi ada yang jujur tetapi banyak juga yang menipu. Tetapi mungkin juga ada benarnya, kerana adakala pengucapan Karl Agan berbentuk nasihat ringkas yang wajar ditulis di batu nisan sebagai wadah muhasabah untuk kita meneruskan kehidupan.

Tetapi sesuatu yang aku rasa aku harus percaya dan aku rasa itu sebabnya aku memilih untuk menulis tulisan ini ialah, puisi-puisi ini lahir daripada sebuah kejujuran. Aku sentiasa percaya bahawa sebuah puisi itu harus lahir daripada kejujuran untuk menjadikannya terus hidup. Puisi ini juga memiliki nyawanya dan jasadnya. Kata-kata itu adalah jasad yang kita baca, dan nyawanya adalah emosi yang diresapkan ke hati pembaca kata-kata lalu menjadi darah daging dan ianya terus bergerak dalam hati pembaca kata-kata itu.

Dan puisi itu tidak akan bernyawa tanpa kejujuran daripada hati pemuisi itu sendiri yang menumpahkan isi hatinya ke dalam kata-kata dan coretan-coretan yang dibina adalah lahir daripada gerak halus hati yang ingin berkongsi apa yang dirasainya kepada orang lain. Sebab itu aku semakin mula tidak percaya dengan puisi-puisi yang dihias dengan lenggok bahasa bintang dan langit sekadar hendak menaikkan seri puisinya sedangkan ianya hanyalah sekadar pendustaan yang tidak membawa sebarang makna yang dapat dirasa.

Kejujuran dalam puisi-puisi Karl Agan mengingatkan aku kepada puisi-puisi William Butler Yeats yang sering aku senangi kerana kejujuran makna yang diberi tetapi kata-katanya tersusun rapi atau puisi-puisi Emily Dickinson yang selalu ringkas dan bercerita tentang kehidupan diri sendiri. Pengucapan Karl Agan yang begitu sederhana dalam puisi-puisinya menjadikan aku sangat selesa untuk menyelak helaian-helaian muka suratnya dengan perlahan-lahan tanpa perlu tergopoh-gopoh untuk menghabiskannya. Kumpulan puisinya aku baca berselang-seli sebagai tempat merehatkan diri sambil membaca buku-buku akademikal yang berat-berat.

Aku tidak tahu mengapa, tetapi puisi-puisi Karl Agan ini sentiasa membayangkan aku kepada Sapardi yang sedang membawa haluan yang lebih jujur dan keluar daripada kebiasannya yang menyelit-nyelit makna dalam puisinya. Sebab itu mata aku agak terbuntang seketika ketika menyelak halaman 100 dan membaca tajuknya, Mencuri Sajak Sapardi. Ketika ini Karl Agan bagai mula mengakui bahawa dia sedang mencuri sajak Sapardi tetapi digarapnya dengan lebih jujur.

"Aku cuba mencuri sajak Sapardi
dan mencintaimu dengan sederhana,
tapi aku selalu merasakan terlebih
dan kau sering merasakan yang kurang,
maka ku pinjam piano Jokpin
dan meletuplah nada-nada
yang tak terungkai oleh kata."

Tetapi sesuatu perkara baru yang aku belajar daripada seorang Karl Agan - "puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi." Begitu kata Karl Agan dalam puisnya yang bertajuk Mitos. Kata-kata ini seperti agak sukar untuk dicabar, sekurang-kurangnya untuk seseorang yang sentiasa bersendirian dan puisi-puisinya hanyalah sebagai teman tempat dia meluahkan isi hatinya tanpa dia mempedulikan sama ada ianya dibaca atau tidak. Aku seperti dapat merasai naluri kesunyian itu dalam keseluruhan puisi-puisinya yang seperti membawa aku ke suatu ruang yang aku duduk dan berseorangan merenungi diri sendiri. Puisi-puisi Karl Agan bagi aku terlalu peribadi, dan Karl Agan bagaikan begitu berani untuk orang lain turut membaca coretan-coretan peribadinya yang orang lain tidak akan berani untuk mengeluarkannya daripada diari. Sebab itu membaca puisi-puisinya adalah seperti sedang membaca diri sendiri.

Puisi-puisi Karl Agan adalah puisi orang yang patah hati. Sebab itu banyak puisinya berkisarkan cinta yang tumpas dan ditujukan kepada kekasih yang telah bergelar mantan sehingga ada puisi-puisinya yang bertajuk Berlalulah, Mantan Kekasihku atau dalam sajak Epitaf, ianya diakhiri dengan bait,

“kepada mantan kekasihku,
Berlalulah."

Maka seusai menutup kumpulan puisinya itu, aku perlu segera mengenal dan mengejar kehidupan yang dia titipkan pesan lewat puisinya Mengenal Kehidupan yang sepatutnya bagi aku harus berada sebagai puisi yang paling belakang.

"Kalaupun kota ini mengajar sesuatu,
ia mengajar tentang satu hal,
bahwa kehidupan hanya ada
nun jauh di rumah yang kita tinggalkan."

Di tangan seorang pemuisi, kehidupan itu diwakilkan menjadi kata-kata kita dibawa menelusurinya. Tetapi di tangan Karl Agan, kita sedang dibawa untuk menelusuri dirinya sendiri kerana itu dia menulis puisi yang katanya, "Puisi hanyalah sebuah taman yang sunyi."

*Ulasan buku Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat oleh saudara Ahmad Muziru Idham. Gambar dan tulisan dipetik dari laman Facebook beliau. 

Ahad, 19 April 2015

Ulasan Buku: Di Pinggulmu Ada Bulan.



"Humankind cannot bear very much reality", T.S Eliot berkata dalam Four Quartets. Saya membayangkan T.S Eliot tertidur di meja tulisnya setelah menulis beberapa rangkap sonetanya yang panjang itu. Apakah sajak itu satu pelarian dari hal-hal yang nyata? Apakah pelarian ini bermakna seseorang itu penat dengan dunia dan cuba untuk melupakannya? Hadi bukan orang yang senang mengaku kalah.

Hadi memulakan buku Di Pinggulmu Ada Bulan dengan kutipan dari T.S Eliot;

Words, after speech, reach
Into the silence.

Only by the form, the pattern,
Can words or music reach
The stillness, as a Chinese jar still
Moves perpetually in its stillness.

Prakata buku ini ditulis Hadi sendiri dan membaca prakata ini, seolah-olah ada suara tegas yang mengatakan bahawa "Aku masuk ke dalam puisi bukan dengan patah hati, bukan dengan tangan kosong, malah aku masuk kerana telah aku menemukan rahsia dalam kesunyianku". Bagi Hadi, kesunyian adalah satu ekstasi seorang penyair. Tanpanya, permainan imaginasi di dalam puisi bisa jadi kaku dan mati. Saya setuju dengan kenyataan itu dengan syarat, penyair itu mengenal kesunyiannya yang tulen dan bukan kesunyiaan kerana ia sememangnya ingin menjauhkan dirinya dari kelompok ramai.

Menulis sajak, memilih kata, menyusun rima, menyelidiki makna; penyair sentiasa sunyi dalam pekerjaannya membangunkan sajak. Bekerja dan bergelut dengan kata menuntut fokus penyair sendiri. Adalah sukar untuk mengatakan bahawa idea yang mendatangi seorang penyair itu adalah asli kerana seorang penyair terbatas oleh kerana pemikiran dan tunjang falsafahnya. Dalam kesunyiannya itu, penyair bertarung dengan pemikiran serta pertanyaan dalam dirinya dan dari ini lahirnya apa yang pembaca lihat sebagai tema/persoalan dalam sajak. Kesunyian seorang penyair tidak seperti yang kita rasa menjelang malam; pungguk bersahutan, cengkerik atau bulbul bernyanyian. Dunia penyair yang sunyi itu penuh dengan suara-suara resah dan mendesak, yang ingin bebas menari di atas kertas.

Di Pinggulmu Ada Bulan adalah sebuah buku yang penuh dengan suara-suara resah dan mendesak itu. Saya tidak dapat membayangkan seperti apa proses kreatif Hadi sewaktu mengerjakan manuskrip naskah ini. Sudah tentu proses itu sebuah usaha yang membebankan, terutamanya dari segi emosi. Kita harus mengakui, tidak ada penyair yang mampu menulis tentang hal-hal yang membahagiakan kerana kebahagian adalah sesuatu yang dinikmati terus, keresahan dan kepiluan adalah sesuatu yang hadir tanpa bicara. Sepertimana ditulis Hadi dalam puisi bertajuk "Kadangkala" (m/s 48);

Cinta
kadangkala
tidak harus mekar,
jika tumbuhnya
sekadar membuah
pada perpisahan.

"Sebuah sajak yang menjadi adalah suatu dunia", kutipan dari penyair besar Indonesia, Chairil Anwar. Kutipan ini secara tidak langsung menggambarkan sajak itu tidak boleh tidak sesuatu yang bersifat alam. Penyair muda akhir ini berusaha untuk keluar dari lingkungan metafora yang bersifat alam kerana metafora sebegini sudah lazim diguna dan disemat dalam sajak-sajak penyair mapan dan dikatakan tidak segar untuk dunia yang semakin laju berputar. Mengatakan bahawa alam adalah metafora yang tidak lagi segar dalam sajak adalah kenyataan yang selamanya salah. Yang harus dipersalahkan ialah penyairnya yang tidak tahu memilih tumbuhan yang segar untuk dijadikan juadah dalam sajaknya. Hadi seorang yang rajin berkebun. Dia memilih sayur-sayur matang dan segar daunnya untuk dijadikan juadah dalam sajak-sajaknya. Misalnya ketika Hadi sedang "Meditasi Kesunyian Di Suatu Siang" (m/s 11);

Sekumpulan camar di waktu petang
sedang berhimpun di pesisir pantai.
Satu daripadanya mereka mula berdiri
di atas sebuah batu yang tinggi
lalu berucap dengan lantang sekali:
'Kita harus bersatu menentang penyair itu
yang tak habis-habis meminjam kita
untuk disemat pada puisi-puisi resah mereka.
Kerana kita adalah makhluk yang damai.'

Sepertimana sebuah kebahagian bermula dari keresahan, keresahan juga hanya reda apabila ia menemukan damai yang membahagiakan. Menjadikan alam sebagai metafora dalam sajak sudah dikerjakan penyair-penyair besar dan selamanya, alam tidak akan menemukan batasnya dalam sajak. Sebuah peringatan untuk penyair muda yang darahnya masih terlalu merah.

Buku Di Pinggulmu Ada Bulan juga memperlihatkan betapa penulisnya senang dengan gaya puisi soneta. Teknik ini sudah digunakan begitu lama dan begitu lazim dalam membangunkan sebuah puisi. Seperti yang kita sedia maklum, puisi soneta adalah sebuah usaha yang berdisiplin dan terikat dengan syaratnya rimanya. Ia lazimnya digunakan untuk menulis curahan hati namun kini tidak lagi terbatas dengan syarat temanya. Puisi soneta menuntut ketajaman pemikiran serta penggunaan bahasa yang baik, Hadi membuktikan bahawa dia bukan penyair yang terbatas dalam lingkungan teknik tertentu. Dia berusaha untuk meneroka kemungkinan dengan cara mencuba teknik soneta misalnya, untuk menulis tentang solitudnya.

Menyusuri bacaan ini hingga ke mukasurat terakhir, saya mengakui bahawa kita tidak akan ketandusan penyair yang berbakat. Ulasan ini tertulis dengan tujuan agar pembaca sekalian mahu menghadapi naskah ini dan meneroka sendiri kemungkinan yang ada dalam sajak-sajak yang ditulis oleh Hadi. Buku ini adalah tentang keresahan Hadi, tentang damai yang ditemukannya dalam kesunyiannya yang tersendiri. 

Seperti apa pun persoalan yang mendorong Hadi unrtuk menulis sajak-sajak dalam buku ini, tugas pembaca bukan untuk mengetahui apa yang terjadi dalam hidup penyair melainkan apa yang dapat kita hayati melalui tulisan dan bahasa yang digunakan. Hadi tidak selamanya menyanyi tentang apa yang dilewatinya dalam hidup. Di waktu seperti ini dia duduk dan meneroka kemungkinan puisi.

Khamis, 5 Mac 2015

Ulasan Buku : "i lap u" oleh Za'im Yusoff.

Beberapa minggu lepas, saudara Za'im Yusoff menghubungi saya bertanyakan alamat agar dia dapat mengirimkan naskah "i lap u" kepada saya. Agaknya cubaan pertama menghantar buku tersebut tidak ditakdirkan terjadi lalu ia dikembalikan semula oleh pihak pos kepada penulisnya. Seminggu kemudian, buku ini akhirnya saya terima dengan selamat.

Lazimnya, saya menulis ulasan pendek dan bersahaja tentang sebuah buku di laman Goodreads, namun saya terpanggil untuk menulis ulasan yang lebih panjang dan (sedikit) teliti setelah menghabiskan bacaan buku ini dalam tempoh semalaman. Bukanlah bermakna buku-buku yang diulas secara ringkas mahupun yang langsung tidak diulas itu tidak bagus namun ada waktunya, sebuah perjalanan dan pengalaman membaca naskah itu tidak mampu dirakam dengan cara bertulis tetapi hanya mampu dirasakan sebagai getar dalam momen perjalanan membacanya.

Buku I Lap U bermula dengan beberapa catatan yang ditulis oleh beberapa rakan pembaca lain, yang rata-ratanya menulis tentang pengalaman mereka menyusuri denai-denai yang ada dalam buku ini. Saya memilih untuk melangkaui beberapa mukasurat catatan ini kerana pada pendapat saya, membaca review sebelum membaca karya itu sendiri sedikit sebanyak mengganggu perjalanan membaca serta menghadirkan sebuah harapan dan pandangan yang tercipta sebelum waktunya. Ibarat melancong ke sebuah negara dan menerokai tempat-tempatnya hanya dengan berdasarkan saranan Tripadvisor. Ini bukan hal yang utama namun setiap pembaca ada cara tersendiri bila menerokai mukasurat dalam sebuah buku.

Hari ini pembaca disajikan dengan puisi-puisi bersifat "pop" yang ditulis ramai penulis mutakhir. Namun apakah puisi pop bermakna sebuah puisi itu seolah-olah dibebaskan dari kekangan nada, rima, metafora dan elemen-elemen lain yang menjadi asas puisi? Sudah tentu tidak. Puisi pop adalah tentang kreativiti dan idea-idea yang hadir untuk mencabar tradisi puisi.

Membaca tulisan Za'im Yusoff dalam buku ini, sesekali saya tersenyum membaca baris-baris katanya. Betapa penulis ini masih ligat menjalinkan metafora dalam puisi-puisinya yang bersifat kontemporari serta berusaha untuk membebaskan diri dari klise yang sering hadir dalam puisi pop, tidak pula terikat dengan klise yang sering ada dalam puisi-puisi arus perdana.

Dalam buku ini, Za'im mendekati tema-tema yang bersifat melankolik, penuh dengan suasana percintaan. Membaca puisi-puisi bertemakan cinta, lazimnya pembaca akan mengaitkan persoalan-persoalan yang ada dalam karya sebegini sebagai suatu pemerhatian terhadap dua individu lelaki dan perempuan, yang sedang bercinta. Tidak dinafikan kebanyakan puisi dalam buku ini sememangnya melihat ke arah itu namun Za'im masih tidak lupa bahawa cinta bukan sahaja dimiliki oleh sepasang kekasih malah berasal dari pengalaman rohani dan cinta kepada Pencipta. Za'im menggambarkan suasana ini dalam puisi bertajuk Nota Cinta;

Tetapi rasa cinta yang Tuhan beri
ialah jalan untuk kita hargai
kewujudan Tuhan.
Agar kita sedar, Tuhan itu
sebaik-baik pergantungan
dalam apa jua hal.
Malah, hal-hal
yang melangkaui
-cinta. 
 Saya setuju dengan kata-kata Hairul Anuar Harun dalam ulasan pendeknya tentang buku ini. Rojak kata yang ditemui dalam sebilangan puisi-puisi Za'im ini barangkali tidak disenangi para sarjana sastera yang mengutamakan tradisi puisi yang lazim. Sungguhpun Za'im menghidangkan beberapa pinggan kecil rojak, ia tetap terasa sedap di lidah pembaca. Za'im menghidangkan rojak kata bukan sebagai alternatif atau gaya/teknik baru dalam penulisannya. Za'im sememangnya berniat dari awal lagi untuk menggauli puisinya dengan rojak kata dengan alasan rojak kata ini hadir bersama makna serta tugasnya yang tersendiri dalam mendirikan puisi-puisinya.

Jika saya harus memilih puisi mana yang menjadi personal favourite, saya akan segera memilih puisi bertajuk Piano Hayat. Dalam puisi ini, Za'im memperlihatkan kebolehannya membuat perlambangan dalam puisi dengan cara melambangkan kunci-kunci piano yang berwarna hitam putih itu sebagai suka dan duka dalam sebuah hubungan cinta;

Nota putih itu
kenangan manis,
nota hitam itu
tragedi tragis.
Sememangnya pengalaman bercinta sepasang kekasih tidak terlepas dari emosi dan perasaan bahagia serta gundah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan hubungan cinta sememangnya ditakdirkan untuk berlangsung seperti cuaca, cerah di waktu pagi hingga ke waktu petang, di hari lainnya, kadang-kala hujan tiba-tiba di waktu tengahari. Za'im mencatat pengalaman ini dalam rangkap seterusnya;

Lantas, Cinta
pernahkan kau dengar lagu
di mana kedua nota itu
tidak pernah bersatu?
Mengamati gaya serta cara penglihatan Za'im dalam menghasilkan puisi-puisi dalam buku ini, pembaca pasti akan melihat betapa penulisnya seorang yang berusaha untuk mempelbagaikan gaya serta teknik menulis puisi. Puisi Cerita Bawah Bulan dan Mansion De L'Amour misalnya, adalah sebuah usaha merakam pengalaman penulis dalam bentuk kata dan visual. Sungguhpun teknik puisi visual bukanlah sebuah teknik yang baru dalam dunia penulisan puisi, usaha Za'im untuk mencuba teknik ini tetap harus diberi pujian, setelah melihat perkembangan teknik penulisan puisi mutakhir yang kelihatan agak mendatar dan kurang rancak.

Seorang penulis puisi yang baik adalah seorang individu yang sentiasa bekerja keras untuk menerokai segala kemungkinan yang boleh berlaku dalam penulisannya, dan tidak takut serta penat untuk meluangkan masanya menghadapi kata serta makna yang selalu gelisah. Saya senang melihat Za'im begitu tekun mencatat nota kaki yang menerangkan makna kata-kata tertentu yang digunakan dalam sebilangan puisinya. Betapa penulis ini ingin sekali pembacanya menyusuri denai-denai puisinya dengan perasaan aman, tanpa perlu merujuk kamus bahasa sebagai papan tanda.

Buku I Lap U adalah sebuah buku yang dilumuri tekad serta usaha penulisnya untuk terlibat secara serius dalam bidang penulisan. Sebuah usaha yang seharusnya menggelisahkan penulis-penulis mapan, dan pada waktu yang sama, sebagai seruan persaingan kepada penulis-penulis baru bahawa menulis puisi ibarat berada dalam sebuah kota yang tidak pernah tidur malah sentiasa hingar dengan ketikan papan kekunci. Tahniah kepada Za'im Yusoff atas usaha yang baik ini.