Isnin, 20 April 2015

Sebuah Renungan Tentang Ketakutan Sastera Hari Ini: Puisi Hati.

Aku duduk di kamar ini
mengenang nasib yang menimpa diri.
Celakalah si jahanam,
meninggalkan aku sendiri.

Lupakah kau pada kenangan
yang kita kongsi bersama?
Kini aku cuba mencari ketenangan
setelah kau tiada.

Jangan kembali kepadaku,
kerana sedikit pun aku tak kisah tentangmu.
Berambus dari sini!
Aku tak perlu kau lagi!

Puisi ini saya tulis dalam waktu kurang dari 5 minit. Caranya mudah, hanya perlu guna rumus rima di akhir baris dan pastikan jumlah baris adalah sama untuk setiap rangkap. Sewaktu menulis ini, saya sedang mengalami emosi yang tidak terkawal. Memang tidak ada orang yang akan mengerti tentang kesedihan saya. Puisi ini saya tulis untuk meluahkan perasaan dan cuba untuk melupakan kenangan dulu. Cinta itu perit dan tidak selalunya indah seperti yang kita selalu bayangkan. Menulis puisi adalah satu terapi dan cara untuk melupakan kenangan lalu.

Ahad, 19 April 2015

Ulasan Buku: Di Pinggulmu Ada Bulan.



"Humankind cannot bear very much reality", T.S Eliot berkata dalam Four Quartets. Saya membayangkan T.S Eliot tertidur di meja tulisnya setelah menulis beberapa rangkap sonetanya yang panjang itu. Apakah sajak itu satu pelarian dari hal-hal yang nyata? Apakah pelarian ini bermakna seseorang itu penat dengan dunia dan cuba untuk melupakannya? Hadi bukan orang yang senang mengaku kalah.

Hadi memulakan buku Di Pinggulmu Ada Bulan dengan kutipan dari T.S Eliot;

Words, after speech, reach
Into the silence.

Only by the form, the pattern,
Can words or music reach
The stillness, as a Chinese jar still
Moves perpetually in its stillness.

Prakata buku ini ditulis Hadi sendiri dan membaca prakata ini, seolah-olah ada suara tegas yang mengatakan bahawa "Aku masuk ke dalam puisi bukan dengan patah hati, bukan dengan tangan kosong, malah aku masuk kerana telah aku menemukan rahsia dalam kesunyianku". Bagi Hadi, kesunyian adalah satu ekstasi seorang penyair. Tanpanya, permainan imaginasi di dalam puisi bisa jadi kaku dan mati. Saya setuju dengan kenyataan itu dengan syarat, penyair itu mengenal kesunyiannya yang tulen dan bukan kesunyiaan kerana ia sememangnya ingin menjauhkan dirinya dari kelompok ramai.

Menulis sajak, memilih kata, menyusun rima, menyelidiki makna; penyair sentiasa sunyi dalam pekerjaannya membangunkan sajak. Bekerja dan bergelut dengan kata menuntut fokus penyair sendiri. Adalah sukar untuk mengatakan bahawa idea yang mendatangi seorang penyair itu adalah asli kerana seorang penyair terbatas oleh kerana pemikiran dan tunjang falsafahnya. Dalam kesunyiannya itu, penyair bertarung dengan pemikiran serta pertanyaan dalam dirinya dan dari ini lahirnya apa yang pembaca lihat sebagai tema/persoalan dalam sajak. Kesunyian seorang penyair tidak seperti yang kita rasa menjelang malam; pungguk bersahutan, cengkerik atau bulbul bernyanyian. Dunia penyair yang sunyi itu penuh dengan suara-suara resah dan mendesak, yang ingin bebas menari di atas kertas.

Di Pinggulmu Ada Bulan adalah sebuah buku yang penuh dengan suara-suara resah dan mendesak itu. Saya tidak dapat membayangkan seperti apa proses kreatif Hadi sewaktu mengerjakan manuskrip naskah ini. Sudah tentu proses itu sebuah usaha yang membebankan, terutamanya dari segi emosi. Kita harus mengakui, tidak ada penyair yang mampu menulis tentang hal-hal yang membahagiakan kerana kebahagian adalah sesuatu yang dinikmati terus, keresahan dan kepiluan adalah sesuatu yang hadir tanpa bicara. Sepertimana ditulis Hadi dalam puisi bertajuk "Kadangkala" (m/s 48);

Cinta
kadangkala
tidak harus mekar,
jika tumbuhnya
sekadar membuah
pada perpisahan.

"Sebuah sajak yang menjadi adalah suatu dunia", kutipan dari penyair besar Indonesia, Chairil Anwar. Kutipan ini secara tidak langsung menggambarkan sajak itu tidak boleh tidak sesuatu yang bersifat alam. Penyair muda akhir ini berusaha untuk keluar dari lingkungan metafora yang bersifat alam kerana metafora sebegini sudah lazim diguna dan disemat dalam sajak-sajak penyair mapan dan dikatakan tidak segar untuk dunia yang semakin laju berputar. Mengatakan bahawa alam adalah metafora yang tidak lagi segar dalam sajak adalah kenyataan yang selamanya salah. Yang harus dipersalahkan ialah penyairnya yang tidak tahu memilih tumbuhan yang segar untuk dijadikan juadah dalam sajaknya. Hadi seorang yang rajin berkebun. Dia memilih sayur-sayur matang dan segar daunnya untuk dijadikan juadah dalam sajak-sajaknya. Misalnya ketika Hadi sedang "Meditasi Kesunyian Di Suatu Siang" (m/s 11);

Sekumpulan camar di waktu petang
sedang berhimpun di pesisir pantai.
Satu daripadanya mereka mula berdiri
di atas sebuah batu yang tinggi
lalu berucap dengan lantang sekali:
'Kita harus bersatu menentang penyair itu
yang tak habis-habis meminjam kita
untuk disemat pada puisi-puisi resah mereka.
Kerana kita adalah makhluk yang damai.'

Sepertimana sebuah kebahagian bermula dari keresahan, keresahan juga hanya reda apabila ia menemukan damai yang membahagiakan. Menjadikan alam sebagai metafora dalam sajak sudah dikerjakan penyair-penyair besar dan selamanya, alam tidak akan menemukan batasnya dalam sajak. Sebuah peringatan untuk penyair muda yang darahnya masih terlalu merah.

Buku Di Pinggulmu Ada Bulan juga memperlihatkan betapa penulisnya senang dengan gaya puisi soneta. Teknik ini sudah digunakan begitu lama dan begitu lazim dalam membangunkan sebuah puisi. Seperti yang kita sedia maklum, puisi soneta adalah sebuah usaha yang berdisiplin dan terikat dengan syaratnya rimanya. Ia lazimnya digunakan untuk menulis curahan hati namun kini tidak lagi terbatas dengan syarat temanya. Puisi soneta menuntut ketajaman pemikiran serta penggunaan bahasa yang baik, Hadi membuktikan bahawa dia bukan penyair yang terbatas dalam lingkungan teknik tertentu. Dia berusaha untuk meneroka kemungkinan dengan cara mencuba teknik soneta misalnya, untuk menulis tentang solitudnya.

Menyusuri bacaan ini hingga ke mukasurat terakhir, saya mengakui bahawa kita tidak akan ketandusan penyair yang berbakat. Ulasan ini tertulis dengan tujuan agar pembaca sekalian mahu menghadapi naskah ini dan meneroka sendiri kemungkinan yang ada dalam sajak-sajak yang ditulis oleh Hadi. Buku ini adalah tentang keresahan Hadi, tentang damai yang ditemukannya dalam kesunyiannya yang tersendiri. 

Seperti apa pun persoalan yang mendorong Hadi unrtuk menulis sajak-sajak dalam buku ini, tugas pembaca bukan untuk mengetahui apa yang terjadi dalam hidup penyair melainkan apa yang dapat kita hayati melalui tulisan dan bahasa yang digunakan. Hadi tidak selamanya menyanyi tentang apa yang dilewatinya dalam hidup. Di waktu seperti ini dia duduk dan meneroka kemungkinan puisi.

Jumaat, 10 April 2015

Sekumpulan Epitaf & Surat-surat yang Lewat, cetakan kedua.

Sewaktu menulis catatan ringkas ini, barangkali buku Sekumpulan Epitaf & Surat-surat yang Lewat sudah dalam perjalanan ke pencetak untuk proses cetakan kedua. Lapan bulan yang lalu, buku ini dilancarkan di acara AFG dan saya hadir di acara itu dengan perasaan yang berbaur antara gembira, teruja serta bimbang. Ini sebuah usaha pembukuan karya saya secara rasmi setelah buku Boke pada tahun 2013. Cetakan kedua ini masih mengekalkan kulit buku serta kandungan yang sama seperti edisi sebelumnya.

Dari mata kasar, saya melihat pembaca sekalian begitu bersedia menerima dan menikmati buku ini, disamping menerima ulasan serta kritikan yang sangat membantu dan mendorong untuk menghasilkan karya yang lebih membangun dan berpendirian. 

Jutaan terima kasih saya ucapkan untuk pembaca sekalian serta pihak penerbit yang bertungkus-lumus menyediakan terbitan ini. Buku ini adalah kesilapan-kesilapan waktu silam dan mengangkat tema yang dekat dengan kita sebagai manusia. Seseorang itu membaca puisi bukan untuk merasakan kesunyian penulisnya malah untuk menyedari bahawa manusia hidup sesama sendiri dalam kesunyian masing-masing di dalam satu lingkungan besar dan tidak lagi merasa sendiri. 

Untuk mendapatkan buku ini, sila lawati laman selutbooks.com atau anda boleh hadir ke acara-acara yang disertai penerbit ini di masa akan datang.