Ahad, 15 Mac 2015

Tentang Metafora (Bahagian 1)

Di sebuah café, seorang pembaca memandu matanya menyusuri lorong-lorong antara baris-baris kata dalam selembar sajak, sesekali mengelamun di antara baris-baris itu sebelum singgah untuk rehat sebentar di hujung stanza. Kemudian setelah beberapa waktu, menyambung perjalanannya menyusuri stanza dalam perjalanan seterusnya. Begitulah metafora dalam sajak, ibarat sebuah pemandangan yang dilihat dalam sebuah perjalanan, menandai perjalanan itu dengan makna yang seringkali tidak terlihat namun dirasa dalam getar tubuh dan deria manusia. Metafora bukan sekadar sebuah ingatan melalui pemandangan tetapi sebuah ingatan tentang apa yang berlaku dalam sebuah perjalanan sajak, sepertimana kita mengingati buih-buih yang dipintal Latiff Mohidin di sebuah pantai untuk kekasihnya.

Metafora bukan sebuah penyimpangan dari tujuan asalnya, tetapi sebuah pengucapan yang lembut sekaligus tegas sebagai sebuah dorongan agar seorang pembaca melibatkan dirinya dalam sajak dengan sebuah tumpuan yang tidak sia-sia. Walaupun begitu, ramai penyair kelihatannya lebih senang bercerita di bawah pohon rendang lewat secangkir kopi dan rokok yang tidak pernah padam, atau berbaring di padang rumput berbumbungkan bintang-bintang angkasa, bermentolkan bulan purnama. Terlalu sedikit yang bangun dari tempat duduknya dan menjadi tour guide untuk sebuah perjalanan yang sukar dilupakan.

Sajak sememangnya bukan sebuah perjalanan yang mudah. Seringkali ada yang terkandas di baris-baris kata kerana kehabisan bahan bakar atau kerana perjalanan itu terlalu sukar dan tidak memberi apa-apa makna lagi kepada pembaca samada dari segi emosi mahupun kehidupan secara keseluruhannya. Sepertimana sajak tidak berpaksi kepada satu aturan yang mendatar, metafora juga hadir sebagai suatu unsur yang memainkan peranan penting dalam menentukan suasana puitis sebuah sajak jika ia wujud sebagai satu sosok yang kuat dan memancar.

Seorang penyair duduk di meja kerjanya dan menulis sajak, pertama sekali dia datang dengan tujuan yang satu, untuk mencipta keabadian momen yang telah dilaluinya melalui kata-kata di atas selembar kertas. Penyair itu harus memikirkan metafora yang paling sesuai untuk menandai keabadian ini.

Sebuah sajak rosak hanya kerana mataharinya terbit lewat atau malamnya terlalu panjang. Adalah menjadi tugas seorang penyair untuk mengatur nasib dan ketentuan dalam sajaknya agar ia mampu hadir sebagai sebuah gambaran yang mampu menandai halaman buku puisi dengan lipatan kecil di hujung beberapa mukasuratnya. Persoalannya, bagaimana seorang penyair mampu melahirkan metafora yang paling sesuai untuk sebuah sajak?

Secara formal, kita mendekati definisi metafora yang menyebut bahawa metafora adalah gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang membawa maksud lain daripada makna biasa kata atau frasa dalam sesebuah sajak. Metafora adalah cetusan kretiviti penyair dan setiap penyair memiliki gaya penciptaan metaforanya tersendiri. Ini bahkan menentukan style  mengarang seseorang penyair dan melalui style  inilah pembaca boleh mengenal sesebuah puisi sungguhpun ia tidak tertulis nama penyairnya.

Jika dihuraikan dengan dengan lebih lanjut, secara asasnya, ada tiga jenis metafora yang selalu berkeliaran dalam puisi, iaitu metafora implisit, metafora rancu, dan metafora usang. Sungguhpun ia dibahagikan kepada tiga kategori ini, ia tidak terikat pada kata-kata tertentu dan penyairnya bebas mencipta sebuah metafora menurut pandangan, pendirian, serta pertimbangannya dalam penulisan puisi. Tanpa melihat dengan terlalu mendalam dan teliti, secara kasarnya rata-rata penyair muda akhir ini bebas bermain dengan metafora implisit dan metafora usang. Sukar diketahui samada penyair-penyair ini menyedari hal ini atau tidak.

Jika para sarjana sastera mengatakan bahawa metafora adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan idea atau pesanan, mengapa agaknya kita masih melihat ke luar jendela puisi dan hanya melihat kabus yang mengaburi pandangan kita? Yang jarang kita sedari, metafora sebenarnya secara tidak langsung menunjukkan tahap pemikiran dan kematangan seorang penulis dalam membangunkan karyanya. Andai penulis itu tajam dari segi pemikiran mahupun menglihatannya, menggubah metafora menjadi alat penyampai tidaklah sesukar yang disangkakan. Yang sering kali terjadi, pembaca menganggap bahawa metafora haruslah hadir sebagai sepotong ayat yang indah, penuh dengan kata-kata yang “bombastic” atau gah, sangat berkias dan kabur. Ini sebuah tanggapan yang salah.

                                                Ini sungai berliku
                                                Airnya sekeras batu
                                                Arusnya mata pisau
                                                Muaranya tanda tanyaku

Membaca baris-baris ini dalam puisi “Sungai Hayat” yang ditulis oleh Jair Sulai, kita melihat bagaimana si penulis menggambarkan kehidupan ini sebagai sebuah sungai. Menjalani kehidupan ini amat sukar, penuh dengan rintangan. Cabaran yang dihadapi dalam kehidupan diumpamakan sebagai arus yang seperti mata pisau, tajam dan boleh melukakan. Muara sungai diibaratkan sebagai masa depan, sebuah lingkungan waktu yang tidak dapat diandaikan dan digenggam. Hanya terlihat setelah kita menyusuri sungainya dari hulu ke muara. Melihat kata-kata yang dipilih untuk membina baris-baris tersebut, apakah kata-kata itu adalah kata-kata yang sukar difahami? Tidak sama sekali. Jair Sulai membina baris-baris itu dengan kata-kata yang dipilih dengan tepat dan menyusunnya untuk menggambarkan kehidupan manusia dengan perumpamaan sungai.

Penggunaan sungai atau alam sebagai sumber metafora bukanlah suatu perkara baru. Penulis yang bijak boleh saja mengulang metafora ini dalam pembikinan puisi-puisi baru tapi dengan penglihatan dan pendekatan yang berbeza, metafora ini mempunyai kemungkinan untuk memberi gambaran yang boleh menghantui pembacanya.

Mungkin ada yang ingin berhujah mengatakan bahawa sebuah sajak yang terlalu digauli metafora tidak mampu menyampaikan pesanannya secara tepat maka kita harus kembali melihat kepada tugas dan peranan puisi. Adakah setiap puisi harus terbeban dengan tugas sebagai pengantaraan mesej sahaja? Sudah tentu tidak. Puisi harus dibebaskan dan hanya melalui kebebasan ini ia mampu menerokai lorong-lorong dan kemungkinan yang boleh berlaku. Mengadakan sekatan terhadap puisi sama seperti membataskan pemikiran serta penglihatan pembacanya.

Puisi tidak pernah menawarkan jalan pintas sekalipun ia tertulis hanya dalam dua baris ayat. Puisi adalah sebuah perjalanan yang panjang dan menuntut kesedaran tentang hal-hal dilihat sepanjang perjalanan itu. Hal-hal ini pula seringkali kecil dan tidak kelihatan begitu jelas di mata penyair di pandangan pertama. Sebab itulah menulis puisi adalah sebuah pekerjaan yang berterusan dalam jangka masa yang lama. Penyair bukan seorang tukang kebun yang tugasnya hanya mencantikkan pemandangan dan tugas metafora bukan sebagai perhiasan semata-mata. Metafora boleh diibaratkan sebagai sebilah pedang yang boleh menghunus dada pembaca atau barangkali seorang Romeo yang membikin jatuh cinta.

Mengingat kata Milan Kundera dalam bukunya The Unberable Lightness of Being, “Metaphors are not to be trifled with. A single metaphor can give birth to love.” Metafora adalah nadi sebuah sajak dan dari degup nadi itu, kita merasakan debar sebuah perjalanan yang mencemaskan dada pembacanya.


Penyair boleh dianggap sebagai golongan yang beruntung kerana diberi licentia poetica. Adalah menjadi satu kerugian untuk seorang penyair andai kesempatan ini tidak digunakan untuk menerokai kemungkinan yang boleh berlaku apabila memanipulasikan bahasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan