Isnin, 12 Oktober 2015

Menentang Stigma

Selang beberapa bulan, debat antara penerbit arus perdana dan penerbit marjinal/'indie' timbul dan setiap kalinya juga berkisar tentang persoalan yang sama: persoalan tentang bahasa, tanda aras kualiti, fungsi, atau sekadar membahaskan peranan serta sumbangan penerbitnya dalam industri buku tanah air. Seperti sebuah jaminan, perdebatan seperti ini bakal muncul semula tahun akan datang, dan ia tetap terbatas dalam lingkungan persoalan yang sama. 'Mengapa' hanyalah sebuah pertanyaan yang hampir sia-sia.

Tidak dinafikan, semenjak penerbit marjinal mula membanjiri pasaran buku, bilangan pembaca meningkat. Ada yang membaca di stesen LRT atau sewaktu menaikinya, di kedai kopi urban mahupun sekadar membaca di rumah sahaja. Ini suatu pencapaian yang mendorong dan menggalakkan penulis serta penggiat sastera untuk kembali menanam hasrat yang berkobar-kobar agar dia lebih rancak menulis dan menerbitkan buku. Secara jujurnya, kita juga harus mengakui bahawa tidak semua buku-buku ini menepati tanda aras kualiti yang telah kita persetujui untuk diguna pakai dalam bidang penulisan. Ya, kita bersikap sambil lewa dalam perbualan kita namun di suatu masa yang tertentu, kita tetap menjaga perbualan kita. Hal yang serupa tidak wajar dipandang remeh dalam penulisan. Adakah wajar sekiranya kuantiti dibanggakan tetapi kualiti dianaktirikan? Jangan kita seronok hanya kerana sebuah pesta meriah tetapi pengisiannya cuma ala kadar.

Melihat sepintas lalu, tidak kurang banyak pembaca kita hanya melihat buku sebagai suatu objek atau alat yang mengisi masa lapang. Kita bukan ingin menidakkan kebebasan pembaca untuk memilih bahan bacaannya namun jika buku selamanya sekadar dibaca di stesen LRT, di kedai kopi, atau sebagai alat bantuan tidur, atau sebuah ruang tempat kita bersembunyi dari kekacauan, apa agaknya yang terjadi apabila muncul pula perkara lain yang menggantikan buku sebagai pengisi waktu lapang?

Kita seringkali membicarakan dan membandingkan sikap penerbit arus perdana serta penerbit marjinal dari segi daya usahanya serta hasilnya, namun lupa bahawa setiap penerbit ini pula bergerak ke arah visi serta misi yang berbeza, visi dan misi yang dilihat melalui penilaian yang berbeza. Kita tidak cukup sabar untuk mencabar alasan serta tanggapan kita sendiri sebelum mempersoalkan ketidaksamaan sumbangan, peranan atau penglibatan badan-badan penerbit berkenaaan.

Segelintir pula melihat kualiti sebagai sesuatu perkara yang bersifat material. Perdebatan seperti ini secara tidak sedar melahirkan stigma dalam diri pembaca sehingga wujudnya pendirian yang pantang dijentik sedikit pun sampaikan golongan yang ini dilihat sebagai pasif dan tidak relevan, golongan yang itu dilihat sebagai sebuah golongan yang aktif dan bernafas baru pula. Orang yang mandi lalu mengenakan pakaian lama yang bersih, dan orang yang mengenakan pakaian baru tetapi tidak mandi, bau dan penampilannya tetap berbeza. 

Sememangnya mana-mana golongan yang mewujudkan lingkungannya sendiri akan dicabar oleh golongan baru yang akan mengkritik kewujudan serta arah tujunya. Dua golongan pencabar ini pula akan menimbulkan golongan baru yang memerhatikan buah-buah yang positif dari golongan pencabar tadi. Sebilangan antara kita cukup matang untuk melihat pertumbuhan ini sebagai sesuatu yang sihat dan meraikan perbezaan ini dengan cara tersendiri. Sungguh pun begitu, tetap ada yang membataskan pendirian mereka dalam sebuah lingkungan yang terlalu cepat berwaspada dengan keterbukaan. 

Apa gunanya jika seseorang hanya menuding jari dalam sebuah arena yang penuh dengan orang sehingga tidak seorang pun yang tahu dengan tepat siapa yang sedang dipersalahkan? Barangkali kita sememangnya sekadar suka memetik kesilapan dan beberapa bulan kemudiannya kembali bertengakar tentang hal yang sama, persoalan yang sama dengan sikap yang tidak pernah berubah.

Bulan Bahasa Kebangsaan berjalan sepanjang Oktober tetapi kita tetap berselimut di bawah sikap tidak ambil peduli, kita tetap berbahasa ala kadar, seolah-olah acara ini diadakan khusus untuk golongan tertentu. Sudah tentu tidak. Ia disajikan di hadapan kita, persoalannya hanyalah sama ada kita mahu atau tidak, sungguh atau sambil lewa. Kita tidak berani/malu mengaku tentang sikap ini, kita tidak berani menguji diri sendiri dan bertanya, benarkah atau beranikah kita menyahut cabaran yang dikemukakan tidak kira oleh pihak yang mana pun.

Dua kapal bergeser di tanjung kerana rumah api tidak berfungsi sepenuhnya, mengapa harus bina rumah api baru tetapi bukan membaikinya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan