Isnin, 26 Januari 2015

Meluaskan Ruang Peribadi

20 Januari yang lalu, Berita Harian menerbitkan artikel bertajuk 'Penyair Wanita Dibuai Perasaan.' Saya membaca artikel tersebut dengan perasaan bercampur-baur antara setuju dan tidak. Hari ini saya membaca juga artikel Norhayati Ab Rahman dalam akhbar yang sama, membalas tanggapan Abrak Othman bahawa penyair wanita harus mengangkat hal-hal yang lebih penting dalam karya mereka, seperti menegakkan identiti bangsa, warisan bangsa, nilai moral serta isu perbahasaan dan tidak bertumpu kepada puisi pengalaman yang berunsur emosi semata-mata. Saya tidak mahu berpihak kepada mana-mana individu dalam soal ini namun setelah waktu yang panjang dalam dunia sastera Malaysia, isu ini tidak pernah terpadam dan ternyata ada sesuatu yang tidak kena dalam usaha mengemaskini tanggapan terhadap perkara ini. Membaca tanggapan Abrak Othman terhadap penyair wanita, saya tertanya-tanya, apakah penyair wanita sudah mencabar tanggapan ini dengan lebih keras atau sekadar membiar angin lalu dan akhirnya angin yang sama tetap kembali melanda dunia sastera wanita, membawa tanggapan yang sama dan cabaran yang sama? Persoalan yang lebih penting, bersediakah penyair wanita dari kelompok muda dan baru untuk mencabar dakwaan bahawa penulisan puisi mereka hanya berkisar tentang emosi dan perasaan semata-mata? Jika ya, di mana kita harus bermula?

Kita sedia maklum, puisi tumbuh dengan rancak akhir ini, ditulis dan tersebar luas dalam pelbagai bentuk media samada melalui media elektronik (blog, instagram dsb) mahupun dalam media cetak melalui zine, buku, atau secara eceran dalam majalah serta surat khabar. Dalam kaedah penyampaian ini terutamanya melalui blog peribadi dan zine, kita harus mengakui bahawa puisi bersifat peribadi seringkali menjadi sajian bukan sahaja di kalangan penyair wanita malah penyair lelaki sendiri. Apakah gejala ini terhasil dari tanggapan bahawa puisi bersifat peribadi lebih mudah ditulis atau kerana puisi didefinisikan oleh penyair baru sebagai baris-baris kata yang meluahkan emosi dan perasaan secara bertulis? Persoalan ini merunsingkan saya kerana seandainya itulah tanggapan penyair baru ini, ternyata usaha untuk memartabatkan penulisan puisi adalah kerja yang sia-sia sejak dahulu dan pertumbuhan puisi yang semakin banyak ini hanyalah seperti melihat cendawan yang tumbuh selepas hujan namun tidak boleh dikutip dan dijamah tubuh badan.

Waktu ini bukanlah waktu untuk menuding jari ke arah mana-mana pihak kerana kegagalannya meletakkan puisi di takhtanya kerana kita sendiri yang membawa puisi itu keluar dari maknanya sendiri. Penyair baru harus menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu kerana gagal membebaskan beban di bahu puisi serta gagal meneguhkan definisi dan pendiriannya terhadap puisi yang diusahakan. Sebuah karangan yang dipisahkan baris-barisnya tidak boleh terus dianggap puisi secara melulu dan luahan perasaan melalui kata-kata yang dihias mahupun berkias tidak menjamin bahawa tulisan itu adalah sebuah puisi.

Secara peribadi, tanggapan bahawa puisi peribadi adalah ruangan yang sempit bercanggah dengan pendirian saya terhadap puisi. Puisi peribadi adalah ruangan yang tidak terbatas selagi manusia hidup di muka bumi dan selama manusia mencari kebenaran dalam setiap hal yang dihadapinya. Puisi peribadi hanya menjadi sempit kerana penyairnya tidak habis-habis mengisi ruangnya dengan hal-hal yang tidak perlu, sempit kerana emosi, gaya dan teknik penulisan yang sama dan tak berubah serta melulu. 

Menghubungkan sebuah puisi dan pembacanya boleh diibaratkan seperti membina jambatan. Sebuah jambatan kayu sudah tentu lebih sesuai untuk laluan yang jarang dibanjiri kenderaan berat manakala jambatan besi dan konkrit sudah tentu lebih kukuh untuk lori dan bas. Merancang pembinaan jambatan pula boleh diibaratkan merancang gaya tulisan, tema dan tujuannya secara keseluruhan. Sudah tentu tenaga, tumpuan dan emosi menjadi sebahagian dari proses pembinaan itu. Apabila puisi itu sudah siap, pembaca akan memandu mata dan tumpuannya, menentukan samada puisi itu boleh dilalui atau tidak. Di sini terlihatlah keupayaan dan kecekapan penyair menyediakan sebuah jambatan yang sesuai untuk pembacanya. Sebagai seorang jurutera puisi yang baik, teknik dan tema harus digaul dengan pilihan kata-kata yang tepat untuk membawa maknanya agar puisinya mampu berdiri kukuh dari segi emosi, pesanan dan tugasnya. Puisi bukanlah sebuah bakul tempat penyairnya membuang tisu yang penuh dengan airmata dan hingus.

Hanya dengan kesediaan penyair itu sendiri puisi mampu bebas dari beban dan kekangan yang dialaminya. Soalnya, bersediakah kita untuk melihat puisi pergi lebih jauh dan mencabar tanggapan orang terhadap tubuhnya? Hanya dengan sikap terbuka penyair mampu mengembalikan puisi ke takhtanya. Luapan perasaan sememangnya adalah hal yang intim dan jika seorang penyair sememangnya nekad untuk berkongsi perasaannya, usahlah bertindak mementingkan diri sendiri dalam soal penyampaian dan perkongsiaan kerana setiap pembaca berdiri dalam kasutnya sendiri dan tidak seorang pun yang akan mengerti sepenuhnya perasaan sebenar si penyair. Tugas penyair bukan untuk marah-marah dan membentak kaki kerana dendam pada kenangan melainkan menganjurkan pertanyaan dan kesedaran dalam diri pembaca tentang apa yang boleh dilakukannya di tempatnya berdiri.

Soal meletakkan tema sebagai tanda ukur nilai sebuah puisi adalah hal yang remeh kerana sudah tentu individu yang menilai karya itu sudah arif tentang sifat tulisan yang harus diangkat sebagai contoh. Sebagai manusia yang penuh dengan perasaan dan emosi, apakah mampu kita menidakkan sebuah puisi yang mampu menggugurkan airmata dalam diam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan